TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Penyokong KDA FC beri sokongan penuh selesai tunggakan gaji pemain

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 April - Penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC berdebar menanti keputusan sama ada kelab itu dapat melunaskan tunggakan gaji penuh musim 2023 atau mendapat persetujuan penyelesaian dengan pemain dan pegawai sebelum 20 April ini.

Lantaran itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda), Nor Hasmadi Hamzah berharap pengurusan Hijau Kuning meningkatkan usaha mencari penyelesaian terbaik bagi mengelakkan lesen kebangsaan Liga Super 2024/25, KDA FC ditarik balik.

Jelas Nor Hasmadi, kepercayaan penuh diberikan penyokong-penyokong kepada pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dalam menyelesaikan isu tersebut bagi memastikan kelab Utara tanah air tersebut kekal bersaing di saingan elit bola sepak negara tersebut.

“Kini tempoh yang diberikan First Instance Body (FIB) hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi.

“Sebagai penyokong setia Kedah memang kami bimbang dengan keadaan semasa kerana masih belum ada apa-apa perkembangan.

“Namun berdasarkan persiapan pasukan yang turun berlatih termasuk bakal menyertai aksi persahabatan empat penjuru di Terengganu, kami percaya pengurusan serius untuk menyelesaikan masalah gaji 2023 agar tidak memberikan kesan kepada persiapan musim ini,” katanya.

Pada masa sama, Nor Hasmadi berkata, penyokong-penyokong gembira selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menarik sekatan perpindahan pemain baharu di atas isu lama sebelum ini berharap perkara sama dapat diselesaikan dalam isu FIB.

Jelasnya, penyokong-penyokong juga berharap agar pihak berkemampuan tampil membantu pasukan tersebut terutamanya pengurusan KDA FC.

“Kami mohon pihak atasan seperti kerajaan negeri atau mana-mana individu termasuk usahawan negeri ini mahupun jutawan dapat tampil membantu jika isu bayaran tunggakan gaji musim 2023 tidak dapat diatasi KDA FC,” ujar beliau.

Pada 5 April lalu, KDA FC menerima padah apabila dikenakan hukuman pemotongan tiga mata saingan Liga Super 2024/25 dan denda RM50,000 kerana kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji 2023. - Sinar Harian

#KDAFC #BOLASEPAK #KEDAH #LIGASUPER 

+ - reset