TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Pesara rugi lebih RM1.2 juta akibat penipuan pelaburan IPO dalam talian

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

PETALING JAYA -  Seorang pesara berusia 70 tahun mengalami kerugian melebihi RM1.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tawaran awam permulaan (IPO) dalam talian dua bulan lalu.

Ketua Polis Johor, M Kumar, memaklumkan bahawa mangsa telah membuat laporan polis semalam, mendakwa ditipu selepas tertarik dengan iklan pelaburan IPO di media sosial pada awal Jun lalu.

Menurutnya, mangsa berhubung dengan seorang individu melalui WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut selepas melihat iklan yang menjanjikan pulangan pelaburan yang tinggi.

"Selepas mendengar penjelasan mengenai potensi keuntungan yang bakal diperoleh, mangsa berminat untuk melabur. Pada Julai lalu, mangsa membuat pelaburan pertama dan menerima pulangan seperti yang dijanjikan. Ini menyebabkan mangsa percaya pelaburan tersebut sah," katanya dalam satu kenyataan.

M Kumar menambah bahawa selepas pelaburan pertama berjaya, mangsa dijanjikan pulangan yang lebih tinggi jika menambah jumlah pelaburan. Terpengaruh dengan janji tersebut, mangsa melakukan beberapa transaksi pembayaran sehingga mencecah jumlah RM1,244,202 ke beberapa akaun bank yang diberikan oleh suspek.

"Warga emas itu mula mengesyaki dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan tambahan yang dibuat. Malah, dia terus didesak oleh pihak berkenaan untuk menambah lagi jumlah pelaburan," katanya.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis dan kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, terutamanya di platform dalam talian. - Media Telus

+ - reset