TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Alif, Aisyah tak mengaku salah guna wang infak lebih RM1.52 juta

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 23 Sept - Pasangan suami isteri pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta, tiga tahun lalu.

Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dan Aisyah Hijanah Azhari, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

"Faham pertuduhan, mohon dibicarakan," kata mereka dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, pasangan kontroversi itu didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta.

Wang derma itu antaranya untuk projek infaq kurma; infak al-Quran di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Al-Nabawi, Madinah; infak pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah; infak bantuan dan sedekah set pakaian untuk mangsa banjir, sedekah set pakaian raya untuk anak-anak yatim serta sedekah ibadah korban di Makkah.

Jumlah paling besar didakwa disalah guna adalah RM425,890.64 iaitu bagi tujuan infaq bantuan mangsa banjir sementara paling rendah pula adalah RM438.38 iaitu bantuan set pakaian muslimah untuk bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai lalu di dua cawangan bank berbeza di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mencadangkan supaya setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 setiap seorang serta syarat tambahan seperti melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

"Bagaimanapun, tertuduh pertama (Alif) berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September lalu dan dia sudah pun menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah di sana," katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Shahrullah Khan yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, anak guamnya bersetuju dengan jumlah jaminan ditawarkan pendakwaan selain menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama bagi menghadiri perbicaraan.

"Tawaran jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah," katanya.

 

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Awang Kerisnada menetapkan Alif dan Aisyah masing-masing diikat jamin RM50,000 berserta syarat tambahan kedua-duanya perlu melapor diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan dan tertuduh kedua (Aisyah) dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi," kata hakim itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Jumaat lalu, Alif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan salah guna harta bagi program infak iftar di Makkah, Syria dan Palestin serta ibadah korban berjumlah RM63,605.48 pada April serta Jun lalu.

Pada 11 Julai lalu, Alif dan Aisyah direman tujuh hari, bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah, bermula 2022 lalu.

Ia susulan, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma, dengan peratusan yang tinggi.

Selain itu, pasangan itu juga dikatakan hidup dalam kemewahan sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber.

Bagaimanapun, pasangan itu tampil dan menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah.

+ - reset