Berita Politik
Steven Sim terajui DAP Pulau Pinang sehingga 2027
BAYAN LEPAS 23 Sept - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menepati ramalan apabila dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu menggantikan bekas Chow Kon Yeow yang menyandang jawatan itu selama 25 tahun sejak 1999.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu pada sidang media selepas pemilihan mengucapkan terima kasih atas keyakinan dan kepercayaan diberi kepada beliau dan barisan jawatankuasa kepemimpinan baharu bagi sesi 2024 hingga 2027.
"Saya ingin menegaskan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang adalah pasukan perpaduan justeru saya menyeru semua ahli DAP supaya merapatkan saf dan berdiri sebagai sebuah pasukan yang kuat demi kepentingan rakyat dan parti kita.
"Kami akan terus bekerja keraas untuk mencerminkan suara dan aspirasi rakyat Pulau Pinang tanpa kompromi agar DAP terus menjadi parti pilihan rakyat di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Arena SPICE) hari ini.
Sim, 42, turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Kon Yeow atas khidmat cemerlang dicurahkan Ketua Menteri itu kepada parti dan rakyat selama ini.
Beliau dalam pada itu berkata, Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bertekad meneruskan usaha dan perjuangan yang didukung pemimpin-pemimpin parti sebelum ini dan akan memulakan tugas yang diamanahkan kepada mereka serta-merta.
"Pada satu pihak, kami akan menyokong sepenuhnya kerajaan negeri dipimpin Kon Yeow dan juga Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya sendiri akan mengetuai delegasi untuk melawat setiap jawatankuasa Parlimen dan cawangan di seluruh negeri sekali gus menarik lebih ramai ahli baharu terutamanya anak muda untuk menyertai DAP Pulau Pinang," katanya.
Sebagai rekod Sim sebelum ini menyandang jawatan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang selain menggalas tanggungjawab Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP sejak Mac 2022.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh meraih undi tertinggi 1,247 dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang menyambung legasi abangnya, Jagdeep Singh Deo yang mengambil alih jawatan itu daripada P Ramasamy, yang keluar parti tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari dan Yeoh Soon Hin yang masing-masing meraih 1,116 dan 1,225 undi dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying, yang memperoleh 827 undi mempertahankan jawatannya sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang sekali gus merealisasikan formula kombinasi Sim–Hui Ying yang dikatakan mendapat restu pemimpin utama parti.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini dilapor mencadangkan Sim mengambil alih kepemimpinan manakala Hui Ying akan terus berkhidmat sebagai setiausaha negeri parti selain menyatakan bahawa gabungan kepimpinan Sim-Hui Ying akan menguatkan parti.
Seramai 15 dari 31 calon yang bertanding memenangi pemilihan termasuk Danial Gooi Zi Sen (1,133); Lay Hock Peng (1,120), Lim Siew Khim (870); Soon Lip Chee (853); Phee Boon Chee (812); Teh Lai Heng (722) dan RSN Rayer mendapat 644 undi.
Sebanyak 1,452 undi dikeluarkan namun jumlah undi yang sah adalah sebanyak 1,367 manakala undi rosak sebanyak 85 undi dengan kehadiran perwakilan direkodkan ialah 69.37 peratus daripada 2,093 perwakilan.
Berita berkaitan
November 11, 2024, 11:01 pm
Kekalahan Gobind tanda perubahan 'politik dinasti' dalam DAP
November 11, 2024, 9:21 am
Gobind tewas, ADUN Kinrara, Sze Han kini Pengerusi DAP Selangor baharu
November 5, 2024, 2:59 pm
BN terbuka bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti dalam PRN Sabah
November 4, 2024, 11:50 am
BN enggan bentuk kerajaan perpaduan, Amanah mahu tanding 20 kerusi DUN Johor
November 4, 2024, 11:27 am
BN tetap bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah akan datang
October 26, 2024, 2:01 pm
MKT UMNO sifatkan Rayer sebagai hipokrit
October 16, 2024, 9:44 am
Adik Ahmad Zahid sertai PAS, jadi ahli seumur hidup
October 8, 2024, 8:51 am
UMNO komited kukuh hubungan dalam Kerajaan Perpaduan
October 4, 2024, 6:45 pm
(VIDEO) Dua jawatan tertinggi Bersatu menang tanpa bertanding
September 29, 2024, 11:26 am