TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Alif Teega didakwa salah guna dana awam RM63,605

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Alif Teega, atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam berjumlah RM63,605.48 menerusi dua program infaq yang diadakan pada April dan Jun tahun ini.

Bagaimanapun, Alif mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. Alif, yang hadir dengan berpakaian kemeja petak dan ditemani isterinya, Aisyah Hijanah, tenang ketika pertuduhan dibacakan, dan berkata, "Saya mohon bicara."

Dua Pertuduhan Melibatkan Dana Infaq

Bagi pertuduhan pertama, Alif didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM36,047.35 untuk program Infaq Iftar di Mekah, Syria, dan Palestin. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, pada 26 April lalu.

Pertuduhan kedua pula melibatkan penyelewengan dana sebanyak RM27,558.13 untuk program JOM! Sertai Infaq Daging Qurban di bank yang sama pada 15 Jun.

Alif didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, serta sebatan dan denda jika disabit kesalahan.

Tindakan Mahkamah dan Jaminan

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mengetuai pendakwaan, manakala Alif diwakili oleh peguam Mohd. Shahrullah Khan. Mahkamah membenarkan Alif diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Reman Sebelum Ini

Pada Julai lalu, Alif dan isterinya, yang juga merupakan pempengaruh terkenal, telah direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung siasatan kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan. Selain itu, dua lagi lelaki turut direman kerana disyaki terbabit dalam kes tersebut. - Media Telus

+ - reset