TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Operasi Terminal Penumpang Kuala Kedah ditutup tiga hari akibat cuaca buruk

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

LANGKAWI 19 Sept. -  Terminal Penumpang Kuala Kedah ditutup selama tiga hari sehingga Sabtu ini berikutan angin kencang dan laut bergelora.

Semua perjalanan feri penumpang yang dijadualkan dari terminal itu dan sebaliknya dibatalkan sepanjang tempoh berkenaan.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom, menyatakan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran mengenai angin kencang dan laut bergelora di Selat Melaka Utara yang dijadual berkuat kuasa sehingga 21 September.

“Gangguan operasi feri akibat cuaca tidak menentu di perairan Selat Melaka Utara sejak kelmarin sehingga Sabtu ini telah menyebabkan seramai 12,532 penumpang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, Baharin menyatakan bahawa pihaknya akan mengaktifkan feri tambahan di Terminal Penumpang Kuala Perlis, bergantung kepada keupayaan terminal tersebut untuk menerima jumlah feri.

Inisiatif ini bertujuan membantu pelancong yang ingin meneruskan perjalanan ke Langkawi, tetapi hanya akan dilakukan selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut Malaysia.

Beliau menasihati penumpang untuk menukar laluan ke Terminal Penumpang Kuala Perlis sepanjang penutupan sementara tersebut sehingga cuaca kembali pulih.

Penumpang yang terjejas juga boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan mereka. - Media Telus

+ - reset