TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KP Imigresen rancang reformasi selepas teguran SPRM

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam proses kerja dan penyampaian perkhidmatan berikutan teguran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, mengumumkan bahawa langkah penambahbaikan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dalam kenyataannya hari ini, Zakaria memaklumkan bahawa JIM telah mengenal pasti 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket untuk membawa masuk warga asing melalui teknik “counter setting” di kaunter-kaunter imigresen.

Kelemahan ini didakwa menyebabkan kelonggaran dalam kawalan dalaman, memudahkan pegawai imigresen didekati ejen sindiket.

“JIM mengambil maklum mengenai kelemahan yang dinyatakan dan kami akan segera melakukan reformasi untuk mengatasi isu ini. Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.”

Beliau menegaskan bahawa JIM akan bekerjasama penuh dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM dalam menangani isu ini.

“Tiada kompromi terhadap pegawai yang melanggar undang-undang negara, tanpa mengira pangkat atau kedudukan mereka,” tambah Zakaria.

Semalam, Azam Baki mengesahkan bahawa 60 individu, termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa, telah ditahan dalam operasi Op Pump, Op Pump 2.0, dan Op Setting sejak 20 Ogos lalu. Penahanan ini adalah hasil siasatan terhadap kegiatan “counter setting” yang dipercayai melibatkan sindiket di pintu masuk negara.

Reformasi ini diharap dapat memperbaiki keselamatan dan integriti proses imigresen, serta memastikan pintu masuk negara terpelihara dengan lebih baik. - Media Telus

+ - reset