TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Bidoglio puas hati aksi JDT di ACLE

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Sept- Pengendali skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya itu pada aksi sulung Kumpulan A, Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) antara Shanghai Port dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Pudong, Shanghai, pada Rabu.

Malah katanya, kesemua pemain Harimau Selatan itu telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan biarpun berdepan kesukaran menembusi benteng pertahanan skuad The Red Eagles.

“Hari ni kita beraksi dalam satu perlawanan berbeza, namun bagi saya JDT telah beraksi dengan cukup baik.

“Pemain kita juga berjaya mengawal bola dengan baik dan memberikan ancaman kepada Shanghai Port.

“Mungkin ini petanda baik untuk pasukan ini untuk terus memberikan yang terbaik pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

Pada aksi sulung Kumpulan A ACLE itu, skuad Harimau Selatan kendalian itu mengejutkan tuan rumah dengan mempamerkan aksi mantap selain menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-45 hasil rembatan cantik Arif Aiman.

Bagaimanapun, penyerang skuad The Red Eagles, Gustavo menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Arif Aiman kemudiannya meledak gol kedua JDT pada minit ke-54, namun Willian Popp memadamkan kelebihan tersebut dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 untuk kedua-dua pasukan berpuas hati terikat 2-2 pada aksi sulung berkenaan.

Sementara itu Bidoglio berkata, pihaknya mahu memastikan skuad Harimau Selatan itu bersedia secukupnya menjelang aksi ACLE seterusnya.

Malah katanya, kesemua pemain juga diharapkan dapat berusaha untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

“Kita tahu kita akan berdepan lawan-lawan yang hebat dalam ACLE, tetapi kita tetap perlu terus berusaha dan meningkatkan prestasi,” katanya. - Sinar Harian

+ - reset