TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mangsa banjir di Seberang Perai meningkat, 11 PPS dibuka

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

BUTTERWORTH 18 Sept. -  Jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di Seberang Perai telah meningkat daripada tujuh kepada 11 berikutan pertambahan jumlah mangsa banjir.

Sebanyak empat PPS dibuka di Seberang Perai Utara, lima di Seberang Perai Tengah, dan dua lagi di Seberang Perai Selatan.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang pada pukul 7.30 pagi tadi, sebanyak 556 orang daripada 147 keluarga telah dipindahkan ke PPS tersebut.

Sementara itu, Sungai Muda di Bumbung Lima menunjukkan paras air yang melebihi tahap bahaya, manakala Sungai Lahar Endin berada pada tahap berjaga-jaga.

Sebelumnya, dilaporkan hanya tujuh PPS dibuka untuk menampung 77 mangsa dari 25 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda pada hari sebelumnya.

Sekitar 70 lokasi di Seberang Perai dilaporkan mengalami banjir kilat dan insiden pokok tumbang disebabkan hujan lebat serta angin kencang yang berlaku semalam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada untuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak. Analisis model cuaca menunjukkan bahawa keadaan angin yang tertumpu di utara Semenanjung dan barat Sabah akan berlanjutan sehingga Sabtu.

MetMalaysia turut memberi amaran bahawa keadaan ini berpotensi menyebabkan ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang yang lebih lama di kawasan tersebut. Angin kencang dan laut bergelora juga dijangka melanda perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, melaporkan bahawa kerajaan negeri telah menerima hampir 200 aduan mengenai pokok tumbang, termasuk yang mengakibatkan kerosakan pada rumah dan kenderaan, akibat ribut dan hujan lebat selama tiga hari yang lalu hingga tengah hari semalam. - Media Telus

+ - reset