TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan pertimbang langkah baharu atasi kesesakan lebuh raya

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang meneliti pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kesesakan di lebuh raya, terutamanya semasa musim perayaan dan cuti umum, dengan menggunakan teknologi terkini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menegaskan bahawa peningkatan jumlah kenderaan bukan alasan yang boleh diterima dan penekanan perlu diberikan kepada penggunaan teknologi moden untuk mencari penyelesaian.

"Saya berharap PLUS dan syarikat konsesi lain dapat menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mengurangkan kesesakan, terutamanya pada waktu cuti yang melebihi dua hari, yang biasanya mengalami kesesakan teruk," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Program 'Highway Concession Conference' (HCC) 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Azman Ibrahim, dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.

Ahmad Maslan juga menyatakan bahawa langkah-langkah sedia ada seperti pembukaan 'smart lane' di 18 lokasi dan laluan kontra perlu diperluaskan.

"Langkah-langkah yang telah dilaksanakan seperti 'smart lane' diharap dapat diperpanjang jaraknya dan tempohnya, kerana sekarang ini, ada 'smart lane' yang dibuka tidak cukup panjang untuk menyelesaikan masalah kesesakan. Oleh itu, ia perlu diperbanyakkan dan diperluaskan penggunaannya," tambah beliau.

Selain itu, Ahmad Maslan mencadangkan agar aplikasi digital My-TTA oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diuar-uarkan kepada pengguna supaya mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih baik, terutama semasa waktu kesesakan.

Beliau juga menyebut mengenai pelaksanaan 'compulsory exit' semasa kesesakan teruk atau kemalangan sebagai satu lagi langkah yang boleh diperluaskan untuk mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

+ - reset