TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis rampas 153kg dadah bernilai RM5.88 juta, 3 anggota sindiket kena cekup

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Sept - Kecekapan pihak polis berjaya menahan tiga anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas lebih 153 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM5.88 juta dalam serbuan di sekitar ibu negara, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam lima petang kelmarin, tiga lelaki berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan, masing-masing di kondominium dekat Cheras dan sebuah restoran di Taman Mutiara, di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata terdahulu polis menahan suspek yang berada dalam kenderaan di pekarangan kondominium itu, sebelum dia menunjukkan unit kediaman yang dijadikan stor dadah.

Ketika tangkapan, katanya, dadah disyaki ganja seberat 182.9 gram (g) ditemui dalam beg sandang suspek yang bekerja sebagai penjaga stor, selain polis turut merampas kunci bagi unit kediaman yang dijadikan tempat penyimpanan bahan terlarang itu.

"Susulan serbuan di unit itu, polis menahan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai penghantar, selain merampas syabu seberat 111.23 kg, ganja (29.06kg), pil ekstasi (7.51kg) dan kristal MDMA (6.07kg) yang dianggarkan bernilai RM5.88 juta.

"Siasatan awal mendapati, kondominium dijadikan stor dadah itu disewa sejak enam bulan lalu pada harga RM2,000 sebulan.

"Suspek yang menjadi penjaga stor pula dibayar gaji bulanan bernilai RM5,000, manakala pendapatan rakan penghantarnya antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya pada sidang media hari ini.

Kok Chin berkata, polis turut merampas wang tunai RM750 dan dua kenderaan dianggarkan bernilai RM55,000, selain menjelaskan sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Katanya, saringan awal mendapati semua suspek negatif dadah, namun masing-masing memiliki rekod jenayah lalu, termasuk berkaitan bahan terlarang berkenaan.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian, termasuk dalang sindiket yang masih bebas, selain bertekad untuk memerangi dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu depan, bagi membantu siasatan," katanya.

+ - reset