TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Baru beberapa hari dilantik, rakyat asak Perdana Menteri Thailand letak jawatan

By
|
Kongsi
image

BANGKOK 12 Sept - Selepas hanya beberapa hari mengambil alih pentadbiran, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, diasak pelbagai petisyen perundangan yang menggesa kelayakan beliau mentadbir dibatalkan.

Ia sekali gus melonjakkan risiko ketidaktentuan politik di negara Asia Tenggara itu, selepas Paetongtarn, 38, menjadi individu paling muda yang juga warisan ketiga keluarga Shinawatra dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand, pada 16 Ogos lalu.

Parti Pheu Thai dianggotai Paetongtarn juga berdepan risiko dibubarkan kerana didakwa berada di bawah pengaruh Thaksin, yang bukan lagi ahli parti itu.

Berdasarkan undang-undang Thailand, pelanggaran etika adalah antara alasan yang sah bagi membatalkan kelayakan seseorang perdana menteri.

Sekumpulan aktivis dan pesaing politik memfailkan puluhan aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), agensi antirasuah dan pendakwa raya, mendakwa Paetongtarn melanggar etika dan berada di bawah pengaruh bapanya, Thaksin, yang juga bekas Perdana Menteri.

Pengadu berprofil tinggi yang terkenal kerana mengemukakan aduan terhadap pemimpin politik, Ruangkrai Leekitwattana, menemui agensi antirasuah kelmarin.

Beliau adalah ahli parti Palang Pracharath, iaitu parti politik disokong tentera, yang dikeluarkan daripada gabungan pentadbiran diterajui Paetongtarn itu, menggesa siasatan sama ada Perdana Menteri melanggar etika.

Antara aduan Leekitwattana ialah tindakan Paetongtarn meminta anggota Kabinetnya menggunakan jari bagi menunjukkan tanda bentuk 'mini hati' semasa sesi bergambar rasmi, hujung minggu lalu.

Beliau mahu agensi terbabit menyiasat sama ada perbuatan Paetongtarn ketika mengenakan pakaian istiadat rasmi itu mencemar martabat jawatan Perdana Menteri dan menghakis kepercayaan serta keyakinan rakyat Thailand terhadap pemimpin.

Biarpun kes itu dilihat remeh dan mungkin sekadar gangguan kepada kerajaan diterajui Paetongtarn, ia adalah bentuk halangan nyata yang dihadapi pentadbirannya, hanya beberapa hari selepas dilantik ke jawatan itu.

Thailand baru pulih daripada pergolakan politik selepas Mahkamah Perlembagaan memecat bekas pemimpin, Srettha Thavisin, yang disabitkan kesalahan pelanggaran etika, seperti mana didakwa sekumpulan Senator.

Paetongtarn, yang komited memperbaiki kehidupan rakyat, berisiko dipecat atau diharamkan daripada menyertai politik seumur hidup, jika mana-mana aduan itu dihadapkan ke mahkamah.

Petisyen itu juga boleh menyebabkan parti Pheu Thai yang dianggotainya serta komponen gabungan membentuk kerajaan Thailand, dibubarkan.

Mengulas perkara itu, Paetongtarn sebaliknya meremehkan tindakan terbabit dan berikrar memberi tumpuan kepada cabaran segera untuk merancakkan semula ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Beliau dijangka melaksanakan penyusunan semula hutang secara meluas bagi menangani beban hutang isi rumah, menawarkan bantuan kewangan kepada perniagaan kecil, dan mempercepat rangsangan fiskal bagi meningkatkan pertumbuhan menjelang akhir minggu ini.

"Saya akan menguruskan cabaran undang-undang sebaik mungkin. Tolong bersimpati sedikit kepada saya dan (jangan) kemukakan terlalu banyak aduan," katanya, minggu lalu. - AGENSI

+ - reset