TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Liek Hou nak guna ganjaran RM1 juta bantu bekas atlet kurang bernasib baik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 12 Sept - Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou merancang untuk membelanjakan insentif kemenangan RM1 juta daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang akan diterimanya susulan kejayaan meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pemain berusia 36 tahun itu berkata, selain mahu membantu mereka yang memerlukan dia juga akan menyumbang sebahagian daripada hadiah kemenangan itu untuk membantu bekas atlet yang kurang bernasib baik.

"Tiga tahun lalu saya sudah buat derma kepada badan kebajikan, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan rumah orang tua. Jadi kali ini ada kelainan sikit, saya ingin membantu bekas alet yang berdepan kesusahan.

"Jadi mungkin saya akan keluar sedikit sumbangan kepada atlet yang sudah bersara dengan mempunyai fizikal yang kekurangan upaya atau dalam keadaan sangat-sangat susah," katanya dalam laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam satu majlis oleh syarikat jam tangan yang meraikannya di sini hari ini.

Terdahulu, Liek Hou berjaya menyumbang emas pertama Malaysia di Paralimpik Paris 2024 selepas menumbangkan pemain Indonesia, Suryo Nugroho 21-13, 21-15 pada aksi final SU5.

Dalam pada itu dia mengulangi pendiriannya tidak mahu lagi menggantung raket dalam masa terdekat.

Katanya, sebarang perancangan untuk dirinya bersara hanya akan diketahui selepas temasya Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

"Saya akan tengok dua tahun lagi di Sukan Para Asia. Kalau badan saya masih sanggup untuk mewakili, sihat dan cergas saya akan sambung lagi," katanya.

+ - reset