Berita Politik
Kenyataan Teresa dipengaruhi emosi dan sentimen politik kepartian - Takiyuddin
Oleh AZRUL RADI
KUALA LUMPUR 11 Sept. - PAS memperakui hak Teresa Kok menyuarakan pandangan beliau secara bebas, namun beliau juga perlu lebih bertanggungjawab dan jujur, selain memastikan pandangan dan pendapat itu tidak tersasar sehingga menimbulkan polemik dan ketegangan dalam masyarakat.
Setiausaa Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, Teresa tidak bertindak mengikut pertimbangan yang wajar dan objektif, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh emosi dan sentimen untuk tujuan-tujuan politik kepartian dan peribadinya sendiri.
"PAS mendapati kenyataan Naib Presiden DAP itu berhubung langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat penyedia makanan memiliki sijil halal bersifat terburu-buru, tidak tertib, selain seolah-olah sengaja memberi gambaran salah terhadap Islam dan pentadbirannya di negara ini.
"Sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Teresa sepatutnya sedar, semua dasar baharu kerajaan harus melalui proses yang teratur dan panjang, termasuk mendapat kelulusan Kabinet yang turut dianggotai oleh DAP, sebelum boleh dilaksanakan.
"Oleh kerana cadangan ini masih berada pada peringkat kajian JAKIM, adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya beliau memanfaatkan saluran dalaman kerajaan sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara ini," katanya.
Sebaliknya, kata Takiyuddin, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terbuka telah menimbulkan polemik, ketidaktenteraman dan salah faham awam yang tidak perlu sama sekali.
Susulan itu, sebagaimana dijangka beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau di seluruh negara, sekali gus mendorong polis menyiasatnya di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, sebagai ahli politik veteran, Teresa seharusnya sedar, kenyataan itu memberi gambaran yang salah terhadap Islam dan pentadbiran Islam di negara ini, khasnya mengenai kedudukan dan kebebasan orang bukan Islam dalam kerangka tersebut.
"Dengan menimbulkan gambaran bahawa pelaksanaan (cadangan) persijilan halal di restoran dan kedai makan melanggar hak dan kebebasan orang bukan Islam, Teresa turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ kepada mereka.
"Ini sudah tentulah suatu gambaran yang tidak bertanggungjawab, tersasar dan kelihatan bertujuan memecah-belah. Jika diteliti, jelas bahawa cadangan JAKIM itu hanya berkait dengan orang Islam, iaitu hak mereka untuk menikmati makanan yang disahkan halal dan juga hak untuk tidak diberi gambaran salah mengenainya.
"Dengan kata lain, restoran dan kedai makan milik bukan Islam tidak seharusnya menerima pengunjung beragama Islam ke premis mereka tanpa sijil halal dan tidak juga dibenarkan "memberi gambaran" bahawa produk yang ditawarkan "boleh dinikmati oleh orang Islam"," katanya.
Selain itu, PAS juga percaya pemilik restoran dan kedai makan juga bertanggungjawab menyediakan maklumat yang jujur dan lengkap mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka, terutama sekali dalam isu halal-haram. - Media Telus
Berita berkaitan
November 11, 2024, 11:01 pm
Kekalahan Gobind tanda perubahan 'politik dinasti' dalam DAP
November 11, 2024, 9:21 am
Gobind tewas, ADUN Kinrara, Sze Han kini Pengerusi DAP Selangor baharu
November 5, 2024, 2:59 pm
BN terbuka bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti dalam PRN Sabah
November 4, 2024, 11:50 am
BN enggan bentuk kerajaan perpaduan, Amanah mahu tanding 20 kerusi DUN Johor
November 4, 2024, 11:27 am
BN tetap bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah akan datang
October 26, 2024, 2:01 pm
MKT UMNO sifatkan Rayer sebagai hipokrit
October 16, 2024, 9:44 am
Adik Ahmad Zahid sertai PAS, jadi ahli seumur hidup
October 8, 2024, 8:51 am
UMNO komited kukuh hubungan dalam Kerajaan Perpaduan
October 4, 2024, 6:45 pm
(VIDEO) Dua jawatan tertinggi Bersatu menang tanpa bertanding
September 29, 2024, 11:26 am