TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis buru penghantar makanan curi RM3,000 daripada tabung masjid di Subang Jaya

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 10 Sept – Seorang lelaki yang juga penghantar makanan diburu selepas disyaki mencuri wang derma RM3,000 dari dua tabung sebuah masjid USJ 4, Subang Jaya, dekat sini, kelmarin.

Kejadian disedari setiausaha masjid terbabit kira-kira jam 9.30 malam, semalam selepas mendapati dua tabung berkenaan diumpil dan wang derma di dalam kedua-dua tabung itu lesap.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata hasil siasatan dan semakan rakaman kamera litar terutup (CCTV), mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.40 pagi, semalam.

Katanya, suspek adalah seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan bangsanya, dilihat memakai baju biru, seluar panjang warna coklat dan bertopi keledar warna merah serta menggalas beg 'ShopeeFood' warna oren.

"Dia dilIhat menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC warna merah namun kita tidak dapat pastikan nombor pendaftaran motosikalnya.

"Suspek mengumpil dua buah tabung masjid yang terletak di foyer pintu masuk masjid menggunakan besi sehingga rosak dan mencuri wang dalam tabung itu dianggarkan RM3,000," katanya dalam kenyataan, semalam.

Wan Azlan berkata, kedua-dua tabung berkenaan adalah tabung derma untuk pembangunan dan utiliti masjid.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil membantu siasatan polis," katanya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya ditalian 03-78627222 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574). - Media Telus

+ - reset