TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sebulan raih RM24,000, sindiket pengemis didalangi warga China tumpas di JB

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Sept - Sindiket pengemis jalanan orang kurang upaya (OKU) didalangi warga China tumpas susulan penahanan enam suspek di sekitar Johor Bahru.

Pengarah Imigresen Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata semua suspek ditahan dalam Ops Serkap oleh Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Johor pada 4.20 petang Khamis lalu susulan risikan selama dua bulan.

Menurutnya, ia juga hasil maklumat awam dan intipan ke atas kegiatan warga asing menjadikan sebuah pangsapuri di Johor Bahru sebagai tempat pertemuan bagi menyerahkan hasil mengemis.

Beliau berkata, pengemis OKU meraih simpati melalui kekurangan dan kecacatan mereka, selain ada yang berpura-pura sakit untuk mendapatkan hasil sumbangan orang ramai.

“Sindiket itu didalangi dua wanita warga China yang menerima hasil mengemis daripada tiga lelaki rakan senegaranya berstatus OKU, iaitu kudung sebelah kaki dan sebelah tangan,” katanya menurut Harian Metro.

Rusdi berkata, siasatan awal mendapati semua pengemis mampu meraih pendapatan bulanan RM2,400 hingga RM12,000 seorang.

Menurutnya, dua wanita yang dipercayai "up line” kepada semua lelaki OKU itu akan mengagihkan imbuhan hasil mengemis.

“Semua pengemis OKU dipercayai turut menerima imbuhan RM1,000 hingga RM1,200 sebulan,”

katanya sambil menambah semua suspek ditahan berumur 51 hingga 63 tahun dan wang tunai berjumlah RM4,682 serta beberapa mata wang asing turut dirampas.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah berada di Malaysia, Seksyen 55E Akta Imigresen kerana membenarkan imigran haram masuk dan tinggal di premis serta Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen kerana bersubahat.

Rusdi berkata, pihaknya memandang serius isu sindiket warga asing dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sebarang aktiviti warga asing menyalahi undang-undang.

+ - reset