TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lawatan Anwar ke India sangat berjaya, ekonomi negara semakin kukuh - Ramanan

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

SUNGAI BULOH 23 Ogos – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India baru-baru ini disifatkan sangat berjaya apabila berupaya membangunkan lagi ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP), Datuk R Ramanan berkata, perkara itu boleh dilihat dengan jelas berdasarkan gambaran dan kenyataan oleh Perdana Menteri India, Nerendra Modi.

“Kalau kita lihat gambar yang dikongsi oleh negara India mengenai lawatan Anwar ke sana, kita boleh beri perumpamaan ‘picture speak a thousand words’ yang mana ia sangat bagus.

“Kalau setakat gambaran sendiri, kita boleh pusing, boleh putar belit. Tapi berdasarkan gambar-gambar yang diambil bersama Anwar dan Perdana Menteri India, persahabatan mereka itu sangat baik dan akrab.

“Mereka adalah sahabat baik, bekerjasama dengan baik, mereka telah mengadakan mesyuarat yang lama dan banyak agensi dan kementerian yang terlibat dalam perbincangan antara dua negara,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 Peringkat Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar dan Pengarah SKM Selangor, Zahir Dahari.

Katanya lagi, pihak beliau sangat gembira apabila India dapat memainkan peranan yang besar dalam memajukan ekonomi Malaysia.

Selasa lalu, lawatan rasmi Anwar ke India berjaya meraih potensi perdagangan dan pelaburan masing-masing RM8 bilion dan RM4.5 bilion daripada hasil pertemuan dengan pemain-pemain utama industri negara itu.

Komitmen itu melibatkan sektor minyak sawit, bahan kimia, minyak dan gas serta bahan alat ganti kapal terbang.

Pada masa sama, tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B2B) di kedua-dua negara dimeterai selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dimeterai sewaktu lawatan rasmi ini.

Nilai perdagangan Malaysia-India tahun 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 dengan nilai RM4.5 bilion, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan. - Media Telus

 

 

+ - reset