TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Wanita sangka rakan baik perlu bantuan, rupanya kena 'scam' hilang rm49,800

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 23 Ogos - Seorang pemilik agensi pelancongan kerugian RM49,800 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai rakan baiknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang mengaku sebagai rakan baiknya pada Rabu lepas.

Beliau berkata mangsa seorang wanita yang berusia 63 tahun percaya pemanggil terbabit ialah rakan baiknya kerana suara yang seakan-akan sama.

"Suspek meminta mangsa meminjamkan wang dengan segera kerana kecemasan. Suspek juga berjanji akan memulangkan kembali wang selepas masalahnya selesai.

"Mangsa yang kasihan dengan rela hati membuat dua kali pindahan wang ke akaun bank yang diarahkan suspek," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, mangsa berasa curiga kerana suspek meminta mangsa membuat satu lagi pindahan wang ke akaun berkenaan.

Wanita itu kemudiannya menghubungi sendiri rakan baiknya menggunakan nombor telefon dalam simpanannya.

"Kenalan berkenaan mengesahkan bahawa dia berada di luar negara dan tidak pernah menghubungi mangsa untuk meminjam wang. Mangsa yang tertipu telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan dengan itu, Azli meminta orang ramai supaya berwaspada dengan pelbagai cara dan taktik penipuan oleh sindiket yang berleluasa. - Bernama

+ - reset