TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

BN tetap guna logo dacing pada PRU16 - Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian untuk tetap menggunakan logo dacing pada Pilihan Raya Umum (PRU16).

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, keputusan itu selari dengan pendirian akar umbi dan rakan-rakan kepimpinan parti itu berdasarkan kepada konsensus untuk terus menggunakan logo berkenaan.

“Dalam pilihan raya (PRU16) yang akan datang kita harus menggunakan logo dacing Barisan Nasional (BN).

“Namun kita tidak menolak kolabrasi dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak berlaku pertindihan (kerusi),” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024), di Pusat Konvensyen Dunia (WTCKL), petang tadi.

Tambah Ahmad Zahid, ketetapan itu adalah antara lima ketetapan garis haluan baharu UMNO/BN selepas menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara lain adalah kepimpinan UMNO/BN mengambil pengajaran daripada kemenangan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri iaitu menggunakan pendekatan berbeza mengikut landskap politik setempat dan soal prestasi kepada kerajaan.

“Keempat, kita merasakan bahawa pengisian kepada agenda ummah dan sebagai sebuah parti rumpun Melayu, kita menterjemahkan agenda tanpa mengenepikan lain-lain kumpulan etnik, kaum mahu pun agama serta budaya.

“Dalam memperjuangkan agenda parti, usaha untuk menyantuni lain-lain kaum mesti dijalankan secara autentik,” katanya lagi.

Ogos tahun lalu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkan persoalan adakah sudah tiba masa untuk parti tunjang Melayu itu untuk bertanding atas tiket sendiri pada PRU16 atau masih berada di bawah bendera BN.

+ - reset