TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

2 wanita 'cuci mata' sebelum bawa lari dua gelang emas RM10,000 di Alor Gajah

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

ALOR GAJAH 22 Ogos – Dua wanita menggunakan taktik ‘cuci mata’ sebelum melarikan dua gelang emas seberat 29.26 gram (g) di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini, semalam.

Ekoran itu, peniaga barang kemas itu terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa, Noor Akhmar Abu Bakar, 28, didatangi seorang wanita berusia antara 30 hingga 40-an yang ingin melihat seutas gelang tangan.

Beliau berkata, Noor Akhmar yang ketika itu ditemani ibunya, menyerahkan seutas gelang kepada wanita itu sebelum suspek dikatakan meminta seutas lagi.

"Selepas menerima dua utas gelang tangan itu, suspek didakwa melarikan diri menuju ke sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang diletakkan di hadapan kedai emas terbabit.

"Seorang lelaki yang bertindak sebagai pemandu dilihat sudah menunggu di dalam kenderaan itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun tidak menggunakan kekerasan terhadap mangsa, dan hasil siasatan awal menemui empat cap jari di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – Media Telus

+ - reset