TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis tahan lelaki dipercayai tekap muka, tikam perut ibu hingga maut ketika masak di Shah Alam

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

SHAH ALAM 22 Ogos - Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman di dapur rumahnya di Seksyen 25 di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata seorang wanita tempatan yang juga jiran sebelah rumah mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis pada jam 5.49 petang.

Katanya, jiran mangsa menghubungi pihak polis sebaik diberitahu oleh anak bongsu mangsa yang baru pulang dari sekolah.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam, ketika mangsa yang juga warga Myanmar seorang diri dipercayai sedang memasak di rumah sewa jenis teres dua tingkat itu manakala suami di tempat kerja.

"Siasatan mendapati, mangsa bergelut dengan suspek dan ditikam dengan senjata tajam.

"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa, polis menemui beberapa kesan tikaman pada badan si mati," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Mohd Iqbal berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga anak sulung mangsa tidak jauh dari lokasi kejadian, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

"Ketika tangkapan, polis turut menjumpai senjata pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak berpuas hati dengan si mati kerana asyik memarahinya disebabkan masalah kewangan.

"Siasatan juga mendapati, suspek yang sudah bekerja, tiada rekod jenayah lampau dan tidak ada masalah kesihatan," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Ogos oleh Majistret Mahkamah 6 Shah Alam, Ameera Mastura Khamis bagi membantu siasatan.

"Proses bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah lemas akibat ditekup dan mempunyai kesan tikaman di perut.

"Setakat ini lapan individu diambil keterangan. Siasatan dijalankan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sesiapa yang ada maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Abdul Hafiz Sariee di talian 014-8905051," katanya. – Media Telus

+ - reset