TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Kastam rampas kontena berisi sejuta rokok ditinggal pemilik di Miri

By
|
Kongsi
image

KUCHING 22 Ogos – Sebuah kontena mencurigakan di Miri akhirnya terbongkar isi didalamnya apabila mengandungi lebih satu juta batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Norizan Yahya berkata pemeriksaan lanjut menemui lebih satu juta batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran duti dan cukai bernilai RM842,212.40.

Rokok itu ditemui Unit Operasi Darat JKDM Miri ketika membuat rondaan di kawasan perindustrian Eastwood, Miri pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lalu.

"Rondaan itu membawa kepada penemuan sebuah kontena berukuran enam meter dalam keadaan berkunci dan diletakkan di kawasan lapang terbiar bersebelahan dengan Sesco Substation Eastwood Valley No 5.

"Pemantauan dibuat terhadap kontena itu namun tiada kelibat pemilik barang di lokasi berkenaan dan beberapa orang awam ketika ditanya juga tidak mengetahui kewujudan kontena itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan menunggu hampir satu jam namun tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik kontena itu.

Berikutan itu katanya, JKDM menyita kontena terbabit serta rokok di dalamnya yang dianggarkan bernilai RM111,324 dan jumlah duti serta cukai pula dianggarkan sebanyak RM730,888.40.

Jumlah nilai keseluruhan barangan termasuk duti dan cukai adalah sebanyak RM842,212.40," katanya.

Menurutnya lagi, modus operandi sindiket itu ialah menyimpan rokok tidak berkastam di dalam kontena dan meletakkan di kawasan lapang bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali," katanya sambil memaklumkan JKDM sedang berusaha mengesan pemilik barangan terbabit.

+ - reset