TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

SPRM dedah pegawai jaga pintu masuk KLIA2 kaut jutaan ringgit jadi ‘pembelot’ seludup warga asing

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

PUTRAJAYA 21 Ogos - Kegiatan sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa dipercayai turut didalangi beberapa individu sebuah agensi penguat kuasa.

Sindiket berkenaan dipercayai didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi 'counter setting'.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas pihaknya menahan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi 'Op Pump' di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan semalam.

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan empat pemilik syarikat dan tiga orang awam dipercayai mempunyai peranan masing-masing bagi menguruskan kemasukan warga asing serta lima penguat kuasa bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2).

"Tangkapan yang dilakukan ini adalah susulan risikan dijalankan SPRM sejak tahun 2022 terhadap kegiatan sindiket ini yang bersekongkol dengan pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

"Sindiket ini dipercayai meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagihkan kepada penguat kuasa terbabit," katanya menerusi kenyataan.

Azam berkata, modus operandi kegiatan sindiket terbabit adalah membuat 'counter setting' iaitu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

Katanya, kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen berkenaan yang bertindak menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terbabit.

"Ejen berkenaan akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu dan pada masa sama memaklumkan kepada warga asing itu untuk pergi ke kaunter ditetapkan sebaik tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

"Sebaik melepasi kaunter khas berkenaan, kumpulan warga asing terbabit akan diambil oleh wakil ejen yang berperanan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu," katanya.

Beliau berkata, warga asing terbabit sepatutnya melalui pemeriksaan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021 iaitu mereka perlu mengemukakan pasport atau dokumen yang sah, mempunyai visa, mempunyai tiket perjalanan pergi balik yang sah, mempunyai wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara, perlu menunjukkan alamat penginapan atau tempahan hotel.

Semua suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi proses permohonan reman hari ini. - Media Telus

+ - reset