TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

BERSATU mohon semua pihak doakan Muhyiddin, beri keterangan polis hari ini - Hamzah

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 21 Ogos - BERSATU memberi sepenuh kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan siasatan polis berkait isu 3R (Raja, agama dan kaum), sekali gus yakin bekas Perdana Menteri itu akan menghormati undang-undang dan hadir memberi keterangan hari ini.

Setiausaha BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya juga sedang meneliti isu membabitkan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 14 Ogos lalu.

"Semua pihak juga diminta supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama berasaskan lunas undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Muhyiddin yang didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R dalam kempen politik.

Naib Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, beliau kecewa dan terkilan dengan ucapan Muhyiddin ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri yang secara biadab menyentuh kewibawaan Sultan Pahang ketika baginda berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Justeru, baginda mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Dalam reaksi kepada titah Tengku Mahkota Pahang kemudian, Muhyiddin menjelaskan, ucapan beliau ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, baru-baru ini, tidak melanggar undang-undang negara, berlandaskan fakta dan tidak bermaksud menghina institusi Raja atau ada kecenderungan menghasut.

"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya," kata Muhyiddin dalam kenyataan menerusi Facebook.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis menerima lebih 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang akan dipanggil memberi keterangan.

Difahamkan, polis sepatutnya merakam keterangan Muhyiddin di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di ibu negara pagi semalam, tetapi ditunda esok berikutan peguamnya berada di Thailand. - Media Telus

+ - reset