Berita Dunia
Afrika masih tunggu vaksin, jangkitan mpox cecah 16,700 kes, 548 korban
KINSHASA 20 Ogos - Kes dan kematian Mpox (cacar monyet) melonjak di Republik Demokratik Congo (DRC) ketika negara Afrika tengah itu menunggu vaksin dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, kata Menteri Kesihatan Samuel-Roger Kamba semalam.
Kamba berkata, jumlah korban tahun ini melonjak dalam beberapa hari daripada 16,000 kes dan 548 kematian kepada 16,700 kes bersama lebih 570 kematian.
“Kita bercakap tentang kecemasan peringkat benua,” kata Kamba pada satu taklimat akhbar ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru negara-negara terjejas untuk meningkatkan program vaksinasi bagi melawan jangkitan mpox yang lebih membawa maut.
WHO pada Rabu minggu lepas mengisytiharkan lonjakan jangkitan mpox di Benua Afrika sebagai darurat kesihatan awam global. Wabak mpox turut dilaporkan di Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda sejak Julai lalu. Satu kes varian berbahaya Clade 1 juga dikesan di Sweden.
AS telah menjanjikan 50,000 dos vaksin mpox untuk DRC, manakala Jepun semalam bersetuju menghantar 3.5 juta dos ‘hanya untuk kanak-kanak’, kata sumber perubatan, yang tidak mahu namanya disiarkan kepada AFP.
Sumber itu berkata, DRC bercadang memberi vaksin kepada empat juta orang termasuk 3.5 juta kanak-kanak.
“Saya harap pada minggu depan kita dapat melihat vaksin tiba,” kata Kamba.
“Vaksin adalah penyelesaian kepada masalah kami,” tambahnya yang menggesa orang ramai mengambil suntikan vaksin.
“Kami telah menyediakan pelan vaksinasi strategik. Kami hanya menunggu vaksin tiba,” tambahnya.
Kes mpox kini muncul di semua 26 wilayah di DRC. Negara itu mempunyai kira-kira 100 juta penduduk.
Walaupun mpox diketahui wujud selama beberapa dekad, varian baharu yang lebih mematikan dan lebih mudah berjangkit, clade 1b menyebabkan kematian dalam kira-kira 3.6 peratus kes, dengan kanak-kanak lebih berisiko, demikian menurut WHO
Kamba berkata, mpox menjangkiti golongan lebih muda di DRC dan terdapat ramai kanak-kanak bawah umur 15 tahun yang telah terjejas.
Sebanyak 18,737 kes yang disyaki atau disahkan mpox telah dilaporkan di Afrika sejak awal tahun ini, termasuk 1,200 kes dalam masa cuma seminggu, kata agensi kesihatan Kesatuan Afrika Sabtu lepas.
Dahulunya dipanggil cacar monyet, virus itu ditemui pada tahun 1958 di Denmark, dalam monyet yang disimpan untuk tujuan penyelidikan.
Ia pertama kali dikesan menjangkiti manusia pada tahun 1970 di kawasan yang kini dikenali sebagai DRC. – AFP
Berita berkaitan
September 17, 2024, 12:44 pm
Ketua Hamas sedia 'perang panjang' di Gaza
September 12, 2024, 3:22 pm
Baru beberapa hari dilantik, rakyat asak Perdana Menteri Thailand letak jawatan
September 11, 2024, 1:37 pm
Ada pelajar Islam, Jepun mula sedia makanan halal di sekolah
September 7, 2024, 11:16 am
Ancaman bom: Pesawat India mendarat cemas di Turkiye
August 27, 2024, 10:28 am
Pengasas aplikasi Telegram ditahan kerana pornografi kanak-kanak
August 27, 2024, 10:14 am
Pemimpin Israel beri ‘lampu hijau’ orang Yahudi sembahyang, berdoa di Masjid al-Aqsa
August 20, 2024, 1:05 pm
Dua musuh kelab bola sepak India bersatu tuntut keadilan kes rogol, bunuh doktor pelatih
August 16, 2024, 2:51 pm
Paetongtarn Shinawatra jadi PM baharu Thailand
August 15, 2024, 10:46 am