TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Strategi francais Muhyiddin gagal, jadi punca PN kalah di Nenggiri - Shahir

By
|
Kongsi
image

 

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Strategi 'francais' Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi punca kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang melabuhkan tirainya semalam. 

Perkara itu disuarakan Veteran UMNO, Shahrir Samad yang menyifatkan langkah Muhyiddin dengan "menfrancaiskan" Bersatu dalam kempen PRK Nenggiri adalah tindakan yang luar biasa bagi mana-mana parti politik.

"Muhyiddin selaku pengerusi PN dan Presiden PPBM telah francaiskan penyertaan PPBM dalam PRK DUN Nenggiri kepada PAS dan (bekas ahli parlimen Ketereh) Annuar Musa.

"Ini adalah suatu yang luar biasa bagi mana-mana parti politik. Lebih-lebih lagi bagi pemimpin utamanya yang sampai hari ini masih terkilan sehingga mengungkit keputusan Agong tidak melantiknya sebagai PM selepas PRU15," katanya. 

Shahir pernah menjadi ahli parlimen Johor Bahru enam penggal dan memegang tiga portfolio menteri.

Beliau merujuk kepada strategi PN di Nenggiri yang secara rasmi ditandingi oleh Bersatu melalui calon Mohd Rizwadi Ismail yang menyertai parti itu daripada PAS hanya dua hari sebelum hari penamaan calon - sementara calon yang dicadangkan Bersatu diketepikan.

"Calon Bersatu yang melompat dari PAS adalah kerana tiada tokoh Bersatu yang boleh dipercayai," katanya.

"(PN guna) lambang PAS dan bukan lambang PN.

"Annuar yang lama terkenal seluruh Kelantan sebagai ‘ore parti’ memainkan peranan terpenting dalam kempen PRK ini. Lagi terbukti Bersatu di Kelantan lompong dan kosong," katanya.

Berdasarkan keputusan rasmi, bahagian undi PN di kerusi DUN Kelantan menyusut daripada 53.3 peratus pada pilihan raya negeri tahun lepas kepada 38.7 peratus.

PRK Nenggiri diadakan selepas speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong, berikutan Bersatu menamatkan keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN memenangi PRK itu dengan majoriti 3,352 undi. - Media Telus

+ - reset