TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Johor memang harmoni, Amanah yang buat hal - Setiausaha UMNO Johor

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Amanah Johor dilihat sengaja hendak mencari pasal atau membuat hal dengan mengungkit mengenai lantikan Exco dan jawatan Ketua Kampung di Johor.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Amanah Johor juga berkata tiada istilah parti penyandang atau 'Principle of Incumbency' kepada 56 kerusi DUN di Johor, kerana mereka merasakan Pakatan Harapan di negeri itu dianggap sebagai pembangkang.

"Mungkin Amanah Johor lupa tentang dua PRK lepas iaitu kerusi Parlimen Pulai dan Simpang Jeram di mana UMNO relaks saja beri laluan kepada calon mereka untuk bertanding walhal UMNO boleh saja tuntut dua kerusi itu kerana sudah jadi kerusi tradisi UMNO.

"Tapi UMNO berlapang dada dan siap beri bantuan jentera kempen dan sokongan undu sepenuhnya kepada dua calon Amanah itu sampai mereka menang. Memang betullah peribahasa Kacang Lupakan Kulit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Halim, selama ini memang suasana politik dan pentadbiran negeri Johor berada dalam aman damai dan harmoni selepas PRN dan PRU15 lalu, di mana sebelum ini PH terutamanya DAP serta PKR menghormati kedudukan pucuk pimpinan kerajaan negeri. 

Malah jelasnya, bekas Timbalan Presiden Amanah yang Pengerusi PH Johor, Allahyarham Salahuddin juga pernah mengeluarkan kenyataan pada tahun 2023 yang PH Johor tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Johor walaupun di peringkat pusat PH dan Barisan Nasional (BN) bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan.

 

"Apatah lagi dengan kedudukan Amanah Johor yang serba kekurangan daripada segi ahli dan jentera parti serta hanya mengharapkan undi daripada bukan Melayu saja sedangkan DUN Mahkota merupakan kawasan majoriti Melayu.

"Adakah Amanah Johor sekali lagi nak tunggang jentera kempen UMNO dan tagih undi daripada orang UMNO untuk menangkan mereka lagi? Tepuk dada tanya iman bukannya tanya nafsu. Biarlah UMNO-BN terus kekal bertanding di kerusi tradisi itu. Amanah Johor kena hormat UMNO macam mana UMNO beri laluan kepada mereka sebelum ini," katanya.

Jelasnya, Amanah Johor tak perlulah 'play victim' kononnya mereka dianiaya, diketepikan dan dianggap pembangkang. Sepatutnya Amanah Johor ambil sikap dan pendekatan lebih harmoni serta profesional macam DAP dan PKR Johor yang menghormati UMNO-BN di negeri ini.

"Lagipun sepanjang pentadbiran Datuk Onn Hafiz ini, semua pihak terima layanan yang adil tanpa mengira mereka daripada UMNO-BN mahupun PH.

"Jadi belajarlah bersyukur dan jangan hanya fikir nak kejar kuasa serta jawatan saja. Biarlah masing-masing fokus kepada usaha untuk bantu rakyat dan terus memajukan ekonomi Johor daripada nak mengganggu gugat suasana harmoni yang wujud sekarang ini," katanya - Media Telus

#AMANAHJOHOR #UMNO #PAKATANHARAPAN

+ - reset