Berita Ekonomi
KWSP berpotensi umum dividen hingga 6 peratus

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mengumumkan dividen lebih baik antara 5.5 peratus hingga 6.0 peratus bagi 2024 berdasarkan prestasi separuh pertama yang memberangsangkan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata prestasi pengurus dana persaraan itu bagi separuh pertama tahun ini adalah baik sekali seiring dengan prestasi ekonomi negara yang terus meningkat untuk tempoh yang sama.
Beliau berkata, aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi tahun ini termasuk Bursa Malaysia amat membantu memberikan pulangan pelaburan yang baik kepada KWSP.
Katanya, seperti dimaklumkan, KWSP mempunyai portfolio pelaburan strategik merangkumi sektor yang sentiasa aktif dan menjadi tarikan pelabur.
"Kemungkinan dividen baik sikit...5.5 peratus ke 6.0 peratus memandangkan (prospek) separuh kedua 2024 dijangka rumit," katanya kepada BH.
Mengenai tinjauan separuh kedua 2024, Aimi Zulhazmi berkata, bagi pelaburan antarabangsa untuk tempoh separuh kedua tahun ini, KWSP perlu lebih berhati-hati dengan unjuran penurunan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS bakal mengurangkan kadar faedah, seharusnya memerlukan KWSP melindung nilai kedudukan tukaran asingnya.
"Ini juga memandangkan ekonomi AS yang diunjurkan akan perlahan atau malah menuju kemelesetan tahun depan, pelaburan KWSP di luar negara dijangka dikurangkan secara beransur-ansur dan berpindah dari AS ke pasaran negara membangun dan negara sedang membangun yang lain.
"Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS juga akan mengurangkan pertukaran asing KWSP yang diperoleh sepanjang separuh kedua 2024," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemungkinan untuk dividen yang lebih tinggi agak cerah.
Beliau berkata, ia berdasarkan strategi pelaburan yang sentiasa mementingkan kepelbagaian portfolio, baik di peringkat geografi dan juga kelas aset.
Katanya, buat masa ini, KWSP melabur 80 peratus daripada dana baharu ke dalam pasaran domestik.
"Memandangkan suasana pasaran global yang begitu meruap, keputusan untuk memberi fokus ke dalam pasaran domestik seharusnya dapat menampan kesan kemeruapan pasaran global.
"Oleh itu, ahli KWSP disarankan untuk terus menyimpan bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi melalui proses faktor pengganda," katanya.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.70 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, peningkatan 29 peratus berbanding RM28.40 bilion dalam tempoh sama 2023.
Pendapatan boleh agih itu tidak termasuk keuntungan 'mark-to-market' (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.
Bagi 2023, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion dan 5.40 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan RM7.48 bilion. - Berita Harian
#KWSP #DIVIDEN
Berita berkaitan
April 9, 2025, 11:43 am
Saham AS menjunam penangan kenaikan tarif 104 peratus terhadap China
April 8, 2025, 3:50 pm
BNM mungkin turunkan kadar OPR jika pertumbuhan ekonomi lemah – HLIB
April 4, 2025, 11:48 am
Bursa Malaysia dibuka rendah dipengaruhi ketidaktentuan global dan tarif AS
March 27, 2025, 1:21 pm
Rasionalisasi subsidi RON95 akan ada dua peringkat harga, salur guna MyKad - Amir Hamzah
March 12, 2025, 11:36 am
Diarah bayar lialibiti tertunggak, Sapura Energy dapat pelaburan RM1.1 bilion daripada kerajaan
March 7, 2025, 3:02 pm
BNM dijangka kekalkan OPR pada 3.00% sepanjang 2025
March 6, 2025, 3:15 pm
BNM kekalkan OPR pada kadar 3 peratus
March 3, 2025, 11:59 am
Lebih 4,500 tempahan, e.MAS 7 berjaya dominasi 25 peratus pasaran EV tempatan
February 28, 2025, 10:48 am
Genting Bhd dijangka catat kerugian RM22 juta bagi suku keempat tahun lalu
February 21, 2025, 12:15 pm