TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PRK Nenggiri: BN tak umum manifesto, hanya akan berkhidmat sebaiknya jika menang

By
|
Kongsi
image

GUA MUSANG 13 Ogos – Tiada manifesto akan dikemukakan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan berlangsung pada hujung minggu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, berkata sebaliknya keazaman BN sudah jelas iaitu calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, akan berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin jika diberi mandat pada 17 Ogos ini.

"Bagi BN, manifesto tidak mampu menarik pengundi DUN Nenggiri dan sejarah sebelum ini juga sudah membuktikannya.

"Jika orang tanya apa manifesto kami... Mohd Azmawi akan berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin dan menyelesaikan permasalahan yang ada jika diberikan mandat," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Jazlan berkata, beliau menyerahkan kepada kematangan pengundi di DUN Nenggiri untuk membuat keputusan memilih wakil rakyat mereka.

Beliau menjelaskan, tidak ada gunanya melancarkan manifesto jika gagal melaksanakan tawaran yang dijanjikan itu.

"Apa guna membuat manifesto sebagaimana Perikatan Nasional (PN)... manifesto 1990 pun tidak selesai lagi dan batu asas yang ditanam pun sudah tidak dijumpai.

"Satu apa pun mereka tidak buat dan pada PRK kali ini masih mahu menipu rakyat. Cukup-cukuplah tipu rakyat kerana penduduk di DUN Nenggiri sudah cerdik," dakwanya.

Ahmad Jazlan turut mendakwa bahawa UMNO yang sebenarnya membangunkan Kelantan, bukan kerajaan pimpinan PAS.

"Contohnya, projek Lebuh Raya Central Spine Road. PAS berjanji dalam manifesto hendak buat lebuh raya rakyat, akhirnya siapa yang menyempurnakan dan melengkapkan? Kerajaan pusat juga yang akhirnya buat," katanya.

Semalam, calon BERSATU mewakili PN yang menggunakan logo PAS bagi PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail, mengumumkan manifestonya yang mengandungi 37 tawaran meliputi tujuh bidang fokus yang dirujuk dengan akronim 'KHIDMAT'.

Huruf 'K' membawa kepada maksud khidmat masyarakat, H (hak rakyat), I (integriti dan amanah), D (daya ekonomi dan infrastruktur), M (masyarakat berilmu, bernilai murni dan sejahtera), A (anak muda berpendidikan dan berkemahiran), serta T (transformasi digital luar bandar).

+ - reset