TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PRK Nenggiri: BN sedia disiasat dakwaan guna aset kerajaan semasa berkempen

By
|
Kongsi
image

GUA MUSANG 9 Ogos – Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia menyiasat dakwaan Barisan Nasional (BN) menggunakan beberapa aset kerajaan untuk berkempen pada PRK DUN Nenggiri.

Beliau berkata parti lawan boleh mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika benar mempunyai bukti berlaku salah guna aset kerajaan seperti didakwa.

Bagaimanapun, Zahid yang juga timbalan perdana menteri tidak menolak kerajaan Kelantan melakukan perkara sama menggunakan aset negeri ketika berkempen.

“Saya akan lakukan siasatan perkara itu dan kalau ada bukti, mereka boleh kemuka ikut saluran perundangan, ikut Akta SPR.

“Jangan menuduh kita sahaja guna jentera kerajaan tetapi bagaimana pula kerajaan Kelantan, saya pasti ada,” katanya kepada media selepas program bertemu penduduk di Renok Baru.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud mengingatkan BN tidak menyalahgunakan aset atau jentera kerajaan semasa berkempen untuk calon mereka di PRK Nenggiri.

Nassuruddin berkata, pertembungan dalam satu-satu pilihan raya itu biarlah hanya melibatkan jentera antara parti bertanding.

Katanya, kerajaan Kelantan juga mengarahkan semua jentera kerajaan negeri tidak digunakan untuk berkempen di Nenggiri.

Kenyataan itu menyusul selepas terdapat dakwaan beberapa aset kerajaan digunakan BN untuk berkempen termasuk menjadikan Dewan Teratai Pos Tohoi sebagai bilik gerakan dan penggunaan kenderaan milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Susulan itu, badan pemerhati pilihan raya Bersih menyifatkan tindakan BN yang didakwa menggunakan bangunan milik kerajaan untuk operasi PRK Nenggiri jelas bercanggah amalan pilihan raya yang bersih dan adil.

+ - reset