Berita Dunia
Bunuh Ismail Haniyeh, Iran ikrar beri ‘hukuman keras’ kepada Israel
TEHRAN 1 Ogos - Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei berikrar memberi 'hukuman keras' terhadap Israel selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Menyifatkan Ismail Haniyeh sebagai pemimpin mujahidin Palestin yang berani, Ali berkata, tindakan penjenayah rejim Zionis yang membunuh tetamu kesayangan mereka di rumah mereka sendiri membawa kedukaan, namun ia juga menyediakan asas untuk hukuman yang keras terhadap rejim itu.
"Syuhada Ismail Haniyeh mempertaruhkan nyawanya selama bertahun-tahun di medan perjuangan yang mulia dan bersedia untuk syahid dan beliau menawarkan anak-anak serta rakyatnya di jalan ini.
"Beliau tidak takut menjadi syahid di jalan Allah dan menyelamatkan hamba-hamba Allah tetapi kami menganggap ia adalah tugas kami untuk membalas darahnya dalam kejadian yang pahit dan sukar, yang berlaku di wilayah Republik Islam ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail dilaporkan terbunuh dalam serangan rejim Zionis di Tehran, Iran, semalam.
Hamas berkata, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian pemimpin berkenaan yang dikatakan terbunuh dalam serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran.
Ismail dilaporkan berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.
Dalam kenyataan itu, Ali mengucapkan takziah kepada seluruh umat Islam, barisan pejuang, negara Palestin yang berani dan bermaruah, dan terutama kepada keluarga Ismail serta mangsa yang terselamat dan salah seorang sahabat yang syahid bersamanya.
"Saya memohon kepada Allah SWT supaya menaikkan darjat mereka," katanya.
Berita berkaitan
December 2, 2024, 12:19 pm
Trump lantik Massad Boulos penasihat Asia Barat
November 22, 2024, 1:00 pm
ICC keluar waran tangkap ke atas Netanyahu
November 6, 2024, 5:16 pm
Trump menang Presiden Amerika Syarikat sekali lagi
November 1, 2024, 10:27 am
Angka korban ribut 'dahsyat' di Sepanyol cecah 158 orang
October 30, 2024, 9:54 pm
Wanita maut terjatuh dari tangga pesawat
October 24, 2024, 11:02 am
Hizbullah hantar peluru berpandu balas serangan paling ganas Israel
October 23, 2024, 11:55 am
Guru sambilan dipenjara kerana tegur anak polis
October 16, 2024, 12:38 pm
Terima rasuah, Hakim Mahkamah Agung dipenjara 10 tahun
October 4, 2024, 3:16 pm
AS rekod kes baharu selesema burung H5 libatkan manusia di California
October 2, 2024, 12:48 pm