TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Penganjur Good Vibes Festival saman The 1975 RM11.25 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Julai – Kumpulan muzik British, The 1975 dan semua ahlinya secara individu disaman RM11.25 juta selepas mencetuskan kontroversi pada Good Vibes Festival di Malaysia, tahun lalu.

Penganjur Good Vibes Festival memfailkan saman itu di Mahkamah United Kingdom, susulan kontroversi atas pentas yang melibatkan vokalis utama, Matty Healy.

Menurut dokumen mahkamah dilihat oleh majalah hiburan Amerika Syarikat, Variety, Future Sounds Asia menuntut RM11.25 juta berikutan penghentian festival itu, kesan daripada tindakan Healy.

Pihak penganjur mendakwa The 1975 dan pengurusannya sedar beberapa had dikenakan atas persembahan mereka di Malaysia.

Pemfailan itu juga menyatakan kumpulan tersebut pernah membuat persembahan di festival berkenaan pada 2016 dan dimaklumkan larangan pada masa itu.

Festival yang sepatutnya berlangsung dari 21 hingga 23 Julai tahun lalu bagaimanapun ditamatkan lebih awal selepas Healy mengkritik undang-undang Malaysia terhadap LGBT, sebelum mencium rakan kumpulan lelakinya, pada hari pertama acara itu.

Tahun lalu, kumpulan tersebut menerima notis tujuh hari melibatkan ganti rugi RM12.2 juta kerana didakwa melanggar kontrak selepas kerajaan membatalkan festival itu.

Pemfailan itu berkata, kumpulan berkenaan didakwa melanggar garis panduan ditetapkan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Katanya, Puspal pada mulanya menolak permohonan persembahan kumpulan itu mengambil kira artikel berkait ketagihan dadah Healy, namun meluluskannya selepas kumpulan tersebut berjanji mematuhi ‘semua garis panduan dan peraturan tempatan’.

Saman itu juga mendakwa The 1975 menggunakan ‘senarai set yang sama sekali berbeza’ dan bertindak dengan cara bertujuan melanggar garis panduan, termasuk penggunaan alkohol di atas pentas.

Katanya, Healy didakwa bertindak agresif terhadap pegawai Puspal apabila mereka mengarahkan kumpulan muzik berkenaan menghentikan persembahan.

Pemfailan juga menambah, The 1975 dan pengurusan segera meninggalkan Malaysia selepas insiden tersebut, selepas menyedari mereka melanggar undang-undang tempatan.

Lesen festival itu kemudian ditarik balik membawa kepada pembatalan acara berbaki dua hari lagi, yang mana turut dijadualkan persembahan seperti The Strokes.

Variety juga melaporkan The 1975 belum mengemukakan pembelaan, manakala wakil bagi kumpulan muzik berkenaan enggan mengulas lanjut.

+ - reset