TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Bank Rakyat salur RM3.83 juta bantu 800 usahawan asnaf tahun ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Julai – Sebanyak RM3.82 diperuntukkan oleh Bank Rakyat bagi membantu seramai 800 usahawan asnaf berpotensi pada tahun ini menerusi program RAKYATpreneur 5.0 dan Bank Rakyat UNIpreneur 4.0.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, berkata dalam tempoh tiga tahun, dua program itu berjaya membantu 1,833 usahawan dan siswa asnaf sebelum ini, dengan sumbangan keseluruhan mencecah RM6.63 juta.

Malah, katanya, dua program itu terpilih sebagai kajian kes dalam laporan 'Tracking Progress: Impact Monitoring of Social Finance' oleh World Bank Group pada 2023.

"Inisiatif ini dapat memperkukuh kesejahteraan sosial dalam memenuhi ekonomi keperluan dengan tujuan membantu membangunkan keupayaan golongan terpinggir untuk keluar daripada kemiskinan relatif, bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dalam mencapai sasaran 'Tiada Kemiskinan'.

"Saya memuji pelaksanaan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNipreneur ini yang dapat menyokong pembangunan usahawan dan siswa asnaf berpotensi dalam mewujudkan perusahaan berdaya tahan menerusi suntikan dana, modul latihan dan bimbingan holistik.

"Ini akan mencipta peluang untuk usahawan berkembang dan memajukan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, RAKYATpreneur 4.0 sebelum ini membabitkan 300 usahawan, menunjukkan prestasi positif apabila 63 peratus atau 189 peserta mencatat peningkatan jualan sepanjang tempoh enam bulan program berlangsung.

Katanya, 69 peratus atau 208 peserta sudah mempunyai wang simpanan daripada hasil jualan masing-masing manakala 62 peratus atau 187 peserta menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

"Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 memperlihat kesedaran 500 usahawan dari aspek pemerkasaan kewangan yang mana 90 peratus atau 451 peserta mempunyai simpanan bulanan.

"Lebih membanggakan, mereka turut memanfaatkan platform digital untuk menjana pendapatan iaitu 53.8 peratus atau 269 peserta menjalankan perniagaan secara dalam talian dan 67 peratus atau 335 peserta menggunakan transaksi digital," katanya.

Berikutan kejayaan program itu, Ramanan berkata, pihaknya akan meminta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan program khas untuk remaja bagi memperkenalkan bidang keusahawanan.

Apabila memahami mengenai bidang itu dari usia muda, selepas tamat belajar, katanya, mereka sudah memiliki platform menjalankan perniagaan sendiri.

"Tidak timbul isu mereka tiada peluang pekerjaan kerana ada asas bidang keusahawanan untuk berniaga," katanya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur turut menyokong program iTEKAD oleh Bank Negara Malaysia yang membolehkan usahawan mikro mendapat akses kepada pembiayaan untuk memula dan memajukan perniagaan.

Menerusi inisiatif itu, katanya, Bank Rakyat berjaya membantu usahawan dan siswa asnaf meningkatkan kecekapan dalam mengenal pasti dan merebut peluang untuk kekal relevan dalam pasaran.

"Sokongan ini menghasilkan anjakan paradigma yang signifikan dalam menjadikan hasil perniagaan lebih mampan dan meningkatkan punca pendapatan," katanya.

Beliau berkata, kesinambungan kedua-dua program pembangunan usahawan itu menunjukkan komitmen Bank Rakyat dalam membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi negara. - Media Telus

#bankrakyat #ramanan #asnaf

+ - reset