TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

RedONE hadiahkan RM1 juta kepada atlet negara raih emas pada Olimpik 2024

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), redONE Network Sdn Bhd (redONE) menawarkan ganjaran RM1 juta kepada atlet Malaysia yang bakal bertanding dalam Sukan Olimpik 2024 sekiranya berjaya membawa pulang pingat emas sulung buat negara.

Ganjaran tersebut membuktikan komitmen tinggi redONE dalam menyokong perkembangan sukan tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) redOne Mobile, Ameen Amaendran berkata, pembayaran berjumlah RM1 juta itu akan diagihkan secara ansuran bulanan dalam tempoh 10 tahun.

Kaedah itu digunakan dalam usaha bagi memastikan sokongan jangka panjang untuk atlet yang meraih pingat emas. Manakala bagi acara berpasukan pula, hadiah akan dikongsi sesama atlet.

Di samping itu, pemenang pingat emas kejohanan berprestij itu juga akan menjadi duta kepada redONE Mobile selama empat tahun.

“Sebagai sebuah syarikat yang berakar umbi dalam memperjuangkan pembangunan sukan di Malaysia, kami melihat sumbangan RM1 juta ini sebagai satu cara untuk bukan sahaja memberi penghormatan kepada atlet kami yang luar biasa tetapi juga mempamerkan sokongan tidak berbelah bahagi kami terhadap semangat kesukanan dan kebanggaan negara.

“Kami percaya kepada kuasa sukan untuk mencetuskan perpaduan dan kami komited untuk memacu atlet kami ke tahap yang lebih tinggi.

“Matlamat kami bukan sahaja untuk meraikan pencapaian atlet semasa tetapi juga membuka jalan kepada mereka yang akan datang mencapai potensi penuh mereka.

“Saya menggesa pertubuhan badan korporat lain untuk bersama-sama menyokong dan menaikkan semangat atlet kita untuk secara kolektif memberi inspirasi kepada generasi baharu dan membawa kegemilangan kepada Malaysia di pentas global,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, temasya sukan Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris bermula 26 Julai ini menyaksikan seramai 26 atlet negara layak bertanding dalam pelbagai acara.

Dalam pada itu, redONE Mobile telah menyokong sukan Malaysia secara aktif melalui pelbagai inisiatif termasuk kerjasama sebelum ini dengan kelab bola sepak tempatan iaitu Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC, dan pada masa ini, PDRM FC dan Imigresen FC serta penajaan kejohanan sukan seperti Lawan Pedang Kuala Lumpur, Skuasy Selangor dan Kejohanan Badminton Purple League.

 

+ - reset