TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Pan Gon tamat karier bersama Harimau Malaya berkuat kuasa hari ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Julai – Desas-desus berhubung status Kim Pan Gon akhirnya terjawab apabila jurulatih dari Korea Selatan itu mengumumkan perletakan jawatannya selaku pengendali Harimau Malaya berkuat kuasa hari ini.

Pan Gon dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun 2022 dan telah menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2025.

Kim Pan-gon berkata, bahawa beliau sangat sedih untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya.

“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej yang sedih kepada semua. Saya telah memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Malaysia atas sebab peribadi.

“Saya minta maaf atas kedukaan ini dan memberi kesan kepada semua. Sejak saya hadir pada tahun 2022, rakyat Malaysia memberikan saya pengalaman yang indah kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, Kim Pan Gon menyatakan hasratnya untuk terus membimbing skuad negara dalam misi layak ke Piala Asia 2027 selepas gagal meraih slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 bulan lalu.

Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian dan tugasnya akan diambil alih oleh penolong jurulatih dari Sepanyol, Pau Marti yang dilantik sebagai pengendali sementara.

Antara keputusan dramatik yang paling diingati oleh peminat ialah kemenangan 4-3 ke atas pasukan di ranking 97 dunia, Kyrgyzstan ketika perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026 dan bangkit mengikat pasukan gergasi, Korea Selatan 3-3 dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.

Malah, Harimau Malaya turut mengikat pasukan di tangga 92 dunia, Syria 2-2 dan seri 1-1 dengan China (79 dunia) ketika aksi persahabatan di gelanggang lawan pada tahun lepas.

Sebagai rekod, antara pencapaian Pan Gon adalah berjaya melonjakkan skuad kebangsaan sehingga menghuni ranking ke-130 dunia selain berjaya membawa Malaysia mara ke Piala Asia 2023 secara merit serta naib juara Pestabola Merdeka 2023.

+ - reset