TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

Rakyat Malaysia dijangka berbelanja sebanyak RM904.6 bilion tahun ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Julai - Perbelanjaan rakyat Malaysia dijangka utuh sepanjang tahun ini susulan pemulihan ekonomi yang menunjukkan kemajuan positif, menurut BMI, sebuah syarikat Fitch Solitions.

Bagaimanapun, BMI berdasarkan tinjauannya yang optimis tetap berhati-hati bagi perbelanjaan pengguna pada 2024, dengan unjuran sebanyak RM904.6 bilion.

Firma penyelidikan pasaran itu percaya perbelanjaan isi rumah akan meningkat dengan lebih mendadak berbanding 2023, apabila pertumbuhan ekonomi dan corak penggunaan kembali kepada normal.

"Kami mengunjurkan perbelanjaan isi rumah akan berkembang sebanyak lima peratus tahun ke tahun sepanjang 2024, kepada RM904.6 bilion (pada harga 2010).

"Perbelanjaan isi rumah sepanjang 2024 akan menandakan kembali ke paras pertumbuhan sebelum COVID-19 (purata pertumbuhan 5.2 peratus tahun ke tahun dalam tempoh 2015 hingga 2019)," tambahnya.

Bagi 2025, BMI menjangkakan perbelanjaan isi rumah akan kekal stabil, berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun.

Walau bagaimapaun, katanya perbelanjaan akan dihadkan oleh paras hutang yang tinggi dan kos berkaitan untuk melunaskan hutang berkenaan.

"Inflasi yang reda dan pasaran buruh akan menyokong perbelanjaan, dengan pertumbuhan gaji benar kembali positif, menyokong kuasa beli sepanjang tahun," tambahnya.

BMI walau bagaimanapun melaporkan penurunan umum dari segi keyakinan pengguna.

Tekanan inflasi komoditi seperti makanan serta bahan api terutamanya menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Data terkini menunjukkan purata keyakinan pengguna adalah 87.1 pada suku pertama 2024, susut daripada 89.4 pada suku ketiga 2023.

"Kami maklum bahawa ini adalah salah satu angka keyakinan pengguna terendah di Malaysia sejak suku kedua 2022 apabila ia mencecah 85.9, dengan purata keyakinan pengguna di negara ini antara 2005 dan 2023 adalah 96.5," tambahnya.

BMI berkata, data jualan runcit walau bagaimanapun adalah lebih positif.

Pada Mei 2024, jualan runcit berkembang 8.7 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan paling kukuh sejak April 2023.

"Pertumbuhan kukuh ini adalah disebabkan jualan lebih tinggi di kedai bukan pengkhususan dan peralatan isi rumah lain dalam kedai pengkhususan.

"Namun demikian, meskipun angka Mei 2024 terbukti meyakinkan, tempoh jangka pemulihan ini akan memerlukan pemantauan selanjutnya. Kami akan terus memerhatikan kedua-dua parameter ini dengan rapat dan menyesuaikan unjuran sewajarnya," katanya.

+ - reset