TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Sukan

Faisal Halim sudah mula ke gimnasium jalani latihan - Jurulatih

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Julai - Pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim dilaporkan sudah mula menjalankan latihan Pusat Latihan SFC di Shah Alam sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, Faisal bermula dengan menjalani latihan ringan di gimnasium.

Perkembangan itu dikongsi oleh jurulatih Gergasi Merah, Nidzam Jamil yang melihat Faisal semakin menunjukkan reaksi positif meskipun belum pulih daripada kecederaan yang dialami.

Menurut Nidzam, pegawai perubatan pasukan dan fisioterapi berusaha keras untuk memastikan pemain berusia 26 tahun itu dapat kembali cergas seperti sediakala.

“Dia masih lagi belum pulih, namun dia sudah melakukan latihan-latihan ringan termasuk sesi rehabilitasi bersama pegawai perubatan dan fisioterapi pasukan.

“Pegawai pasukan sangat bekerja keras untuk memastikan Faisal kembali pulih. Cuma, kami tidak mahu terlalu terburu-buru dengan (situasi) Faisal (untuk kembali),” kata Nidzam.

Pengurusan Selangor FC sebelum ini menjangka pemain yang mesra dengan panggilan Miki itu akan kembali melakukan latihan di atas padang pada penghujung bulan ini.

Sebagai rekod, pemain sayap berasal dari Mengkuang Titi itu menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Damansara.

Faisal pada awalnya dilaporkan kritikal kerana mengalami kecederaan lecur tahap empat telah menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital pada 25 Mei lepas.

Tonggak Harimau Malaya itu sudah membuat kemunculan pertama di khalayak umum menerusi sidang media khas pada 13 Jun lepas selain sempat turun menyaksikan skuad Merah Kuning beraksi di Stadium MBPJ baru-baru ini.

+ - reset