TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terkejut jumpa bom mortar ketika bersihkan rumah sewa

By
|
Kongsi
image

JASIN 8 Julai - Polis menemui sebutir bom mortar di sebuah rumah di Taman Bukit Tembakau, Merlimau, di sini, kelmarin.

Susulan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bom mortar berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan bom Mortar 60 milimeter (mm) practice inert itu oleh wanita berusia 65 tahun yang juga pemilik kediaman terbabit sebelum menghubungi Balai Polis Merlimau pada jam 7.58 malam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis yang turut disertai anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ke tempat kejadian dan membuat kawalan keselamatan dengan menggunakan garisan polis.

"Cawangan UPB kemudian mengesahkan bom berkenaan adalah jenis mortar 60mm practice inert yang digunakan untuk latihan berukuran panjang 300 mm dan diameter 60mm.

"Ia juga disahkan tiada mengandungi bahan letupan dan sudah diambil oleh pihak UPB untuk tindakan pelupusan," katanya dihubungi di sini.

Ahmad Jamil berkata, siasatan mendapati pengadu dihubungi jirannya yang membantu membersihkan kediaman itu yang disewakan kepada seorang lelaki sejak 2022 sebelum menemui objek berkenaan.

Katanya, rumah teres setingkat itu tidak berpenghuni hampir tujuh bulan selepas ditinggalkan penyewa terbabit pada Januari lalu dan sehingga sekarang pemilik rumah tidak lagi berhubung dengannya.

"Sabtu lalu, pengadu meminta jirannya lelaki berusia 30 tahun untuk mengemas barangan peribadi milik penyewanya yang ditinggalkan. Semasa proses mengemas jirannya menjumpai objek yang menyerupai bom mortar dan menghantar gambar kepada pengadu," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sedang mengesan bekas penyewa terbabit.

#POLIS #JUMPA #BOM

+ - reset