TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua pasangan suami isteri antara ditahan jadi dalang kes pecah rumah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Julai - Dua pasangan suami isteri antara lima individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan 15 kes pecah rumah di sekitar daerah Subang Jaya dekat sini, kelmarin.

Kesemua suspek yang berusia 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang pada pukul 8 malam semalam.

Difahamkan, kes terbaharu yang didalangi kumpulan itu adalah kes pecah rumah di Puching yang dilaporkan berlaku pada Khamis lalu.

Pada hari kejadian, pengadu iaitu wanita berusia 46 tahun bekerja sebagai pengurus sumber manusia serta ahli keluarga lain keluar bekerja kira-kira jam 8.35 pagi.

 

"Namun apabila pengadu pulang sekitar jam 12.30 tengah hari, mendapati pintu pagar rumah dirosakkan selain bingkai besi pintu utama diumpil serta rumah dalam keadaan berselerak.

"Pengadu kemudian mendapati beberapa barangan berharga serta wang tunai miliknya serta keluarga hilang dengan nilai kerugian dianggarkan RM40,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, semakan mendapati empat suspek adalah pasangan suami isteri dan seorang lagi suspek lelaki adalah rakan mereka.

"Hasil soal siasat awal ke atas semua suspek, kita percaya pihak polis dapat menyelesaikan lebih daripada 15 kes pecah rumah yang berlaku di daerah Subang Jaya sepanjang tahun ini.

"Menerusi tangkapan ini, polis turut merampas beberapa barangan seperti jam tangan dan beg tangan wanita disyaki hasil kegiatan pecah rumah," katanya.

Jelasnya, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini direman empat hari hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah. - Media Telus

#PECAHRUMAH #SUAMIISTERI #PUCHONG

+ - reset