TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pembaharuan tingkat tadbir urus termasuk di HRD Corp sudah dilaksana sebelum audit selesai - Steven Sim

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pelbagai pembaharuan sudah pun dilaksanakan bagi meningkatkan tadbir urus di seluruh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) termasuk di Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebelum audit selesai.

Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong, berkata beliau dilantik sebagai menteri pada Disember tahun lalu, manakala isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah bagi tempoh 2019 hingga 2023.

"Dalam tempoh enam bulan ini, sebelum audit selesai, KESUMA sudah melakukan pelbagai pembaharuan untuk meningkatkan tadbir urus di seluruh kementerian. Di HRD Corp kami menubuhkan Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Audit baharu sebagai usaha memastikan pengurusan kewangan yang lebih baik.

"Kita juga mengetatkan prosedur dalam mentadbir pelaburan. Dana Inisiatif Strategik (SIF) baharu diwujudkan untuk mengasingkan akaun amanah levi. Levi sepatutnya hanya digunakan sepenuhnya untuk tujuan latihan oleh majikan kepada pekerja mereka.

"SIF dibiayai daripada keuntungan HRD Corp dan ia untuk digunakan sebagai menyokong pelbagai latihan kemahiran serta inisiatif pembangunan modal insan seperti membantu golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mungkin tidak memiliki atau memiliki levi HRD Corp yang terhad untuk melatih pekerja mereka dan menyediakan latihan kemahiran kepada golongan rentan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sim berkata, kementeriannya turut memperkenalkan langkah jangka pendek untuk meningkatkan kualiti latihan dan menggalakkan penggunaan levi yang lebih tinggi dalam kalangan majikan, sekali gus memastikan ia digunakan sebanyak dan secepat mungkin untuk pembangunan modal insan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan KESUMA dan HRD Corp memberikan kerjasama sepenuhnya 'tanpa sebarang halangan' terhadap proses audit oleh Jabatan Audit Negara dan PAC apabila dimaklumkan mengenai audit itu ketika mengambil alih jawatan.

Beliau berkata, maklum balas segera diberikan oleh KESUMA selepas kedua-dua laporan terbabit dibentangkan, yang turut menyaksikan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh 24 jam, sekali gus menunjukkan aspirasi KESUMA terhadap akauntabiliti dan integriti yang tinggi.

"Saya juga sudah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan terbabit," katanya.

Sebanyak tiga kenyataan turut dikeluarkan oleh beliau, Khairul Dzaimee dan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, juga dalam tempoh 24 jam selepas kedua-dua laporan dibentangkan, yang disifatkan Sim sebagai 'menunjukkan keseriusan bahawa pihak kepimpinan menangani situasi dengan segera'.

 

#Stevensim #KESUMA #hrdcorp

+ - reset