TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki tahan sakit 6 jam kaki tersepit di batu sungai di Jeli

By
|
Kongsi
image

JELI 8 Julai - Niat seorang lelaki hendak menjala ikan bertukar episod hitam apabila kaki kirinya tersepit di celah batu sungai selama enam jam di Sungai Hulu Balai, Kampung Kuala Balah di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, mangsa, Mohd Hulul Izmi Mohd Kamil, 31, bersama tiga lagi rakannya dikatakan berkhemah di kawasan tersebut sejak kelmarin.

Difahamkan, rakan Mohd Hulul dikatakan cuba membantu mengeluarkannya namun gagal sehingga mereka membuat keputusan untuk meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.11 petang.

"Perjalanan menuju ke lokasi agak jauh serta terletak di kawasan pedalaman dan sebaik tiba, kami mendapati mangsa sedang menahan kesakitan akibat kaki yang tersepit di celah batu sungai.

"10 pegawai serta anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa selain turut mendapat bantuan penduduk kampung serta anggota polis yang berada di lokasi.

"Sekitar jam 6.40 petang kaki mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Adni berkata, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Balah untuk rawatan lanjut.

 

#sakit #tersepit #batu 

+ - reset