TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HRD Corp dibenarkan buat pelaburan ikut Akta PSMB - Peguam

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Julai - Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan HRD Corp untuk membuat pelaburan mengikut prosedur dan tatakelola yang  termaktub dari segi undang-undang.

Ini sekali gus menyanggah dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang sebelum mendakwa HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan sedangkan ia bukan sebuah institusi pelaburan.

Peguam, Amrit Pal Singh berkata, Akta PSMB 2001 adalah sistem perundangan yang mengawal selia dan mentadbir segala perancangan dan pelaksanaan operasi pentadbiran HRD Corp.

“Seksyen 26 dalam akta tesebut memberikan kuasa untuk menubuhkan panel pelaburan panel pelaburan oleh menteri yang terbabit dan hendaklah terdiri daripada pengerusi lembaga, dua orang anggota yang dilantik oleh lembaga daripada kalangan anggotanya, ketua eksekutif, wakil Kementerian Kewangan, wakil Bank Negara Malaysia dan dua orang lain yang mempunyai pengalaman perniagaan dan kewangan yang dilantik oleh menteri. 

“Seksyen 27 dalam akta yang sama turut memberikan kuasa untuk melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan kumpulan wang amanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa, dalam syer dan debentur dalam mana-mana syarikat awam yang harga bagi syer dan debentur itu disebut di bursa Malaysia atau dalam apa-apa pelaburan atau sekuriti lain sebagaimana yang diputuskan oleh panel pelaburan. 

“Sudah terang lagi bersuluh, HRD Corp tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi undang-undang untuk membuat pelaburan atau dari segi moral juga kerana pelaburan yang dibuat telah menjana keuntungan yang besar,” katanya kepada MalaysiaGazette. 

Baru-baru ini, media melaporkan, HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023 dengan jumlah tersebut melibatkan 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.

Mengulas lanjut, Amrit Pal Singh menambah, pihaknya menasihati semua pihak terutama ahli Parlimen atau mana-mana jawatankuasa agar memahami sistem perundangan di negara ini sebelum membuat sebarang teguran.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam LKAN 2/2024 dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp. kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jelasnya, KESUMA perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp. bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pula mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp. untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac lalu seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kesuma. 

 

#HRDCORP #PELABURAN #PAC

+ - reset