TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya mohon semua ahli UMNO doakan, solat hajat untuk Najib' - Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Julai - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta seluruh ahli UMNO melakukan solat hajat dan berdoa supaya Datuk Seri Najib segera dibebaskan. 

Presiden UMNO itu berkata, pembebasan bekas Perdana Menteri itu sentiasa menjadi keutamaan parti berkenaan.

"Saya memohon ahli parti sentiasa mendoakan untuk dipermudahkan urusan pembebasan Najib dan mendapat keputusan positif oleh Lembaga Pengampunan.

"Saya tidak mahu berkongsi apa yang saya dan rakan-rakan serta usaha UMNO lakukan (membebaskan Najib), tapi yakinlah bahawasanya saya dan rakan-rakan ikhlas kepada 'bossku'.

"Ini bukan kerana jasa beliau kepada individu, sebaliknya jasa Najib kepada ahli UMNO, rakyat dan negara yang amat banyak," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh Kali Ke 30/2024 di Kompleks UMNO Dewan Uthmaniyah malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Mohamad Fathmi Che Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman. 

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sendiri sentiasa berdoa dan membuat solat hajat memohon Najib diberikan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

"Paling tidak ditahan di rumah supaya beliau dapat bersama ahli keluarga yang lain," katanya memetik laporan Berita Harian. 

Beliau berkata, pihaknya juga tidak pernah menekan mana-mana pihak sebaliknya meminta ahli UMNO yakin bahawa pemimpin itu akan dibebaskan dan memberi sokongan padu kepada Najib.

"Kita takkan berputus asa atau lari daripada perjuangan, malah di sebalik tirai besi sekalipun bossku sentiasa menyokong UMNO, jadi saya mohon tolong doa, solat hajat supaya Datuk Seri Najib diberi kekuatan, doa yang ikhlas pasti Allah akan terima," katanya. 

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Najib untuk menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah dan kini menjalani hukuman penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

+ - reset