TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Parti Buruh menang besar PRU UK, dijangka bentuk kerajaan hari ini

By
|
Kongsi
image

LONDON 5 Julai - Parti Buruh dijangka membentuk kerajaan selepas memperolehi kemenangan besar dalam Pilihan raya umum (PRU) United Kingdom (UK). 

Difahamkan, pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer Starmer, mungkin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri UK yang baharu hari ini selepas Raja Charles III secara rasmi menjemput mereka untuk membentuk kerajaan.

Biarpun keputusan rasmi belum diumumkan setakat ini, Parti Buruh memperolehi kemenangan besar pada PRU kali ini. 

Kemenangan itu sekali gus mengakhiri pimpinan Parti Konservatif selama 14 tahun.

UK menjalankan sistem pemerintahan dianggotai 650 ahli Parlimen dan tinjauan keluar ketika ini mengunjurkan Buruh memenangi 410 kerusi, Konservatif (131), Liberal Demokrat (61) dan Reform UK (13).

Keputusan ini akan memberikan Parti Buruh majoriti 170 kerusi, berbeza dengan keputusan PRU UK pada 2019, di mana Parti Buruh ketika itu kalah tipis dengan memenangi 344 kerusi berbanding Konservatif yang berjaya meraih 365 kerusi.

Jika unjuran berdasarkan tinjauan ini tepat, parti kiri tengah yang diketuai Starmer akan kembali berkuasa dengan majoriti besar selepas 14 tahun kerajaan berhaluan kanan di bawah konservatif memimpin UK.

Perdana Menteri terdahulu merangkap pemimpin Konservatif, Rishi Sunak, membawa Parti Konservatif mencapai keputusan terburuk mereka dalam beberapa dekad.

Pada Mei, berdepan defisit yang ketara dalam pilihan raya, Sunak mengejutkan ramai pihak dalam partinya sendiri serta pemerhati politik apabila memutuskan untuk mengadakan PRU mengejut, dengan tempoh kempen hanya enam minggu.

Konservatif berkuasa sejak 2010 dan negara itu menyaksikan pertukaran lima pemimpin pada masa itu - termasuk tempoh huru-hara pada 2022 apabila UK mempunyai tiga Perdana Menteri dalam beberapa minggu.

Parti Buruh tidak memenangi pilihan raya umum sejak 2005 dan keputusan terakhirnya pada 2019 di bawah pemimpin sayap kiri, Jeremy Corbyn, adalah yang paling teruk selama hampir satu abad.

Justeru, Starmer berusaha untuk menunjukkan kepada pengundi semasa kempen bahawa parti itu telah berhijrah, sambil menyeru perubahan dalam kerajaan selepas tempoh pemerintahan Konservatif yang panjang.

Sunak, sementara itu, cuba menjual rekod partinya, dan berulang kali memberi amaran kepada pengundi supaya tidak memberikan majoriti besar kepada Parti Buruh. - AGENSI

#UNITEDKINGDOM #PRU #KERAJAAN

+ - reset