TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Siapa pecahkan cermin 6 kereta di LRT Awan Besar?

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Julai - Polis mengesan individu yang dipercayai memecahkan cermin enam kereta diletakkan di tepi jalan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, di sini, pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Ravindar Singh Sarban Singh, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Pada Selasa, bermula jam lebih kurang 9.20 pagi, pihak polis menerima enam laporan polis berhubung kes cermin kereta dipecahkan di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil.

"Hasil semakan mendapati kesemua enam kereta ini diparkir pemilik kenderaan pada Isnin bermula jam lebih kurang 3 petang di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar.

"Beberapa bahagian cermin kereta dipecahkan suspek yang masih bebas sebelum disedari pemilik kenderaan pada keesokan hari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ravindar Singh berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang gagal mematuhi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya.

Sejak semalam, rakaman video yang memaparkan cermin beberapa kereta dipecah tular. 

Video berdurasi 47 saat dikongsi seorang individu yang meminta orang ramai berhati-hati ketika mahu meletakkan kereta secara percuma di kawasan berkenaan.

Kereta itu dikatakan diparkir secara haram di tepi jalan dan bukan di kawasan parkir yang disediakan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang lengkap dengan kawalan keselamatan.

Menerusi perkongsian video berdurasi 47 saat di laman TikTok @Cd Pham menunjukkan cermin hadapan beberapa kereta itu telah dipecahkan.

+ - reset