TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bank Rakyat tawar 6 bulan moratarium kepada mangsa banjir di Sabah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Julai – Bagi mengurangkan beban mangsa banjir buruk di Sabah baru-baru ini, Bank Rakyat menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana itu.

Banjir itu membabitkan empat daerah termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, kemudahan moratorium diharap memberi kelegaan dan mengurangkan beban dan kesulitan kepada mangsa terjejas.

"Langkah proaktif diambil oleh Bank Rakyat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia MADANI bertujuan mengurangkan beban kewangan dan komitmen ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

"Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

"Ia termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pelanggan terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

Pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my untuk maklumat lanjut atau menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 serta mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) berdekatan.

Maklumat dari semasa ke semasa berkaitan boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Bank Rakyat.

+ - reset