TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Muhyiddin dapat pasport sementara, hadir graduasi cucu di London

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Julai - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi menghadiri majlis graduasi cucunya di London.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport diserahkan kepada beliau menerusi peguamnya, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.

“Pasport diserahkan kepada tertuduh (Muhyiddin) hari ini dan ia perlu dikembalikan kepada mahkamah 20 Ogos depan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin memaklumkan anak guamnya akan bertolak ke London pada 19 Julai dan dijangka kembali ke Malaysia pada 15 Ogos.

Ditanya mengapa permohonan pasport dilakukan lebih awal, peguam itu berkata ia bagi membolehkan tertuduh mendapatkan pelepasan daripada Jabatan Imigresen.

Menurut afidavit sokongan dikemukakan, Muhyiddin dan isterinya Puan Sri Norainee Ahmad akan menghadiri majlis graduasi cucu perempuan mereka pada 23 Julai ini di Royal Festival Hall di Southbank Centre, London.

Muhyiddin berkata, cucunya itu berjaya menamatkan pelajaran dalam Sarjana Muda Sastera cemerlang dengan mendapat kelas pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Pentadbiran Perniagaan) di University of Westminster, London.

Pada prosiding sama, Rozina menetapkan 30 Ogos ini bagi pendengaran permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapinya sementara menunggu permohonan semakan keputusan oleh panel hakim diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Muhyiddin, 77, didakwa menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL antara 25 Februari dan 16 Julai 2021, serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lalu atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. - Media Telus

#MUHYIDDINYASSIN #PASPORT #LONDON

+ - reset