TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PRK Sungai Bakap: Polis buka dua kertas siasatan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Julai – Sebanyak dua kertas siasatan dibuka setakat 12 hari tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata ia membabitkan kesalahan merosakkan bahan kempen dan mengedarkan risalah menyalahi undang-undang.

Menurutnya kedua-kedua kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Berbaki tiga hari menjelang hari mengundi Sabtu ini, polis menasihatkan semua pihak tidak menimbulkan provokasi ketika berkempen, termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, semua pihak perlu mengelak isu Raja, Agama dan Kaum (3R) sepanjang tempoh berkempen.

Tegasnya, polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial bagi mengesan penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, polis meluluskan 135 permit sepanjang tempoh kempen bermula 22 Jun lalu.

"Semua permit diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim dan tiada permohonan ditolak," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

+ - reset