TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada lesen runcit, KPKM turunkan 94 iklan online jual beras

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Julai – Sebanyak 94 iklan penjualan beras secara dalam talian melalui platform e-dagang diturunkan bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, semakan pihaknya melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mendapati penjual beras secara dalam talian itu tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan oleh KPB dan beras dijual dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.

“Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah KPB.

“Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996. Di samping itu, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan,” katanya hari ini.

Jelas KPKM, perbuatan berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

“Penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuatkuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” ujarnya.

Pada masa sama, KPKM memaklumkan KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform berkenaan dengan kerjasama penyedia platform itu bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa.

“KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jelasnya. – Media Telus

#KPKM #BERAS #JUAL

+ - reset