TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KDN dedah tiga negeri paling banyak jalan tikus PATI guna

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Julai – Sebanyak 160 jalan tikus dikenal pasti yang sering digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini.

Angka itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan daripada jumlah itu, Kedah, Perlis dan Kelantan dikenal pasti mempunyai paling banyak laluan tikus.

“Warga asing yang berada dalam negara kita, bolehlah dipecahkan kepada beberapa kategori. Pertamanya, masuk tanpa sebarang dokumen sama sekali. Kita ada 160 jalan tikus dan 140 pintu masuk rasmi.

“Jalan tikus paling banyak ialah di Kedah, Perlis dan Kelantan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan, saya maklum tentang bagaimana pintu masuk jalan tikus ini, iaitu laluan yang tidak diwartakan oleh kedua-dua negara yang bersempadan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) tentang strategi yang dirangka bagi membendung kemasukan mereka ke laluan tikus di perairan dan kewujudan sindiket penyeludupan PATI.

Tambah Saifuddin, kategori kedua yang ada ialah warga asing yang masuk dan mempunyai pas kerja yang sah, dipanggil pas lawatan kerja sementara.

Jumlahnya kini mencecah 2.3 juta dan kerajaan mempunyai rekod majikan, keberadaan dan profil mereka.

“Tapi, kita ada siling. Kementerian Ekonomi hadkan, tak boleh melepasi 2.55 juta menjelang akhir tahun ini. Di KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) yang bertindak sebagai kementerian kawal selia, kami dipandu oleh siling itu.

“Ini bermaksud, kita ada defisit kira-kira 300,000 ke 400,000 orang lagi. Ini bagi yang sah. Tapi yang sah ini, kadang-kadang tinggal lebih masa. Maknanya, pas kerja tamat tapi memilih untuk tinggal lagi, yang mana salah daripada segi akta imigresen.

“Bila buat penguatkuasaan, kita tangkap, kenakan kompaun, usir dan senarai hitam. Ada juga yang salah guna pas, itu juga satu kesalahan di bawah akta imigresen,” jelasnya.

Sementara itu katanya, dalam tempoh 1 Januari sehingga 12 Jun tahun ini, seramai 61,152 orang telah ditahan kerana memasuki Malaysia tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Jelasnya, KDN telah meminta kedutaan asing yang terlibat untuk mengeluarkan dokumen perjalanan supaya mereka boleh dibawa keluar, sekali gus disenarai hitam agar tidak boleh masuk lagi ke Malaysia.

+ - reset